PKNK PERKEMAS STRUKTUR, FOKUS LONJAK AGENDA ‘THE GREATER KEDAH’
Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat berkata, pelaksanaan transformasi tersebut menuntut penyusunan semula strategi, fokus dan tadbir urus agar PKNK benar-benar berperanan sebagai tulang belakang pembangunan Kedah.
“PKNK kini berada di pertengahan pelaksanaan Pelan Transformasi PKNK 2024-2028 yang menjadi panduan untuk kembalikan PKNK sebagai agensi utama pembangunan negeri, sekaligus menjadi penggerak The Greater Kedah,” katanya ketika berucap pada Kursus Lembaga Pengarah Kumpulan PKNK 2025 bertemakan ‘Bagaimana Lembaga Pengarah Boleh Membentuk Kejayaan Masa Depan’, dirasmikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini.
Menurut Isahak, PKNK telah menetapkan beberapa bidang keutamaan selari dengan Pelan Kedah 2035, antaranya pembangunan kawasan industri di Kulim Hi Tech Park (KHTP), Bukit Kayu Hitam dan Sungai Petani sebagai pusat pertumbuhan baharu.
“Tumpuan lain termasuk perladangan sawit moden dan teratur, meliputi pembekalan benih berkualiti tinggi, pengurusan ladang dan operasi kilang memproses sawit. Perkhidmatan melalui syarikat kumpulan seperti Kedah Medical Centre (KMC) dan Kedah Management Service Sdn Bhd (KMS) yang menyumbang nilai tambah kepada ekonomi negeri.
“Sektor lain, pembangunan hartanah termasuk perumahan mampu milik, pelancongan terutama pembangunan aset Gunung Jerai serta penganjuran acara pelancongan.
“Pembangunan usahawan muda sebagai generasi peneraju ekonomi baharu serta penerokaan sektor digital, logistik dan industri halal bagi memastikan PKNK kekal relevan dalam ekonomi masa depan,” ujar beliau.
Isahak memaklumkan, kajian PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah PKNK menunjukkan kekuatan PKNK sahaja tidak mencukupi untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah agenda The Greater Kedah.
“Sebab itu usaha mesti digerakkan secara kolektif oleh semua GLC negeri. Bila kita bergabung kekuatan, impaknya lebih besar dan lebih cepat,” katanya.
Tambah beliau, bagi menyokong transformasi itu, PKNK melaksanakan penyusunan semula struktur termasuk, mengkategorikan anak syarikat kepada A, B, C dan D mengikut prestasi serta potensi.
“Langkah lain, menggubal Polisi Pelantikan Pengarah Nominee dan Polisi Pelantikan Pengurusan Tertinggi untuk memastikan standard profesional lebih tersusun.
“Melaksanakan polisi bisnes sinergi, polisi dividen serta menggiatkan aktiviti syarikat dormant yang berpotensi selain laksanakan proses ‘strike off’ bagi syarikat dormant yang tidak lagi relevan,” katanya.
Isahak tegaskan, setiap anak syarikat wajib mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan, bukan hanya dari segi keuntungan tetapi juga sumbangan sosial kepada masyarakat.
“Kerjasama dengan pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) digalakkan bagi melaksanakan program komuniti, membaik pulih rumah serta menyokong kebajikan dan pembangunan ekonomi setempat,” ujarnya.
Beliau berkata, PKNK turut menaja pelajar melalui Program Skill Sejahtera sebagai usaha pembangunan bakat untuk masa depan anak-anak Kedah sejak 2024.
“Anak syarikat perlu terus menyokong program sebegini kerana ia pelaburan jangka panjang untuk negeri,” ujarnya.
Menurut Isahak lagi, sejak 2024, PKNK mula melihat kesan positif dalam tadbir urus, proses keputusan dan prestasi anak syarikat, namun potensi yang lebih besar masih belum diterokai sepenuhnya.
“Syarikat-syarikat kita boleh pergi lebih jauh jika setiap pengarah berperanan secara lebih aktif, strategik dan berdisiplin.
“Kursus lembaga pengarah antaranya bertujuan untuk menyelaraskan pemahaman, mengukuhkan peranan fiduciary serta memastikan semua ahli lembaga bergerak pada gelombang yang sama.
“Ini adalah pelaburan kepimpinan untuk memacu PKNK ke arah masa depan yang lebih besar,” katanya.

Post a Comment