Header Ads

test

UKIR MALL DIJENAMAKAN SEBAGAI UKIR ARENA, PUSAT AKTIVITI RAKYAT KEDAH


ALOR SETAR - Kompleks Ukir Mall akan diberi nafas baharu menerusi penjenamaan semula dan akan dikenali sebagai Ukir Arena.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha tersebut antara langkah untuk mengaktifkan semula kompleks tersebut sebagai lokasi tumpuan rakyat Kedah.
“Kita mahu beri ‘vibe’ baharu. Ukir Mall bukan lagi kompleks yang sunyi, tetapi Ukir Arena akan muncul sebagai pusat yang aktif dan menjadi tumpuan rakyat. Kita ubah tempat ini kepada arena untuk pelbagai kegiatan ekonomi, sukan, kesihatan, sosial dan macam-macam lagi,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan Kursus Lembaga Pengarah Kumpulan PKNK 2025 bertemakan ‘Bagaimana Lembaga Pengarah Boleh Membentuk Kejayaan Masa Depan’ di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Wira Isahak Murat.
Sanusi yang juga Pengerusi PKNK berkata, penjenamaan semula itu dilakukan bagi mengubah persepsi bahawa Ukir Mall sebelum ini sepi dan kurang dikunjungi.
“Di sini terdapat ruang dewan yang sesuai dijadikan pusat pengajian pada masa depan, selain menempatkan pelbagai kemudahan baharu yang bakal diperkenalkan,” ujar beliau.
Sanusi berkata, transformasi itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan infrastruktur dan menyediakan kemudahan lebih baik kepada penduduk tempatan.
“Kita akan angkat semula Ukir Mall menjadi satu venue tumpuan seluruh rakyat Kedah selepas ini, Insya-ALLAH,” ujarnya.
Ukir Mall ketika ini dikenali sebagai pusat membeli-belah dan akan menjalani transformasi sebagai Ukir Arena sebagai pusat aktiviti pelbagai fungsi, termasuk penganjuran acara e-sukan, sewaan dewan, program masyarakat dan majlis kenduri kahwin, sekali gus mengembalikan semula denyut nadi kawasan tersebut sebagai pusat komuniti.

Tiada ulasan