Header Ads

test

ANAK SYARIKAT PERLU JANA PENDAPATAN UNTUK KERAJAAN, BUKAN DIBANTU - SANUSI



ALOR SETAR - Anak-anak syarikat kerajaan negeri perlu berfungsi sebagai penjana pendapatan kepada kerajaan, bukan menjadi liabiliti yang menunggu bantuan.


Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara kaedah utama melonjakkan ekonomi negeri ialah melalui pengukuhan anak syarikat agar mampu menjalankan perniagaan serta menjana keuntungan yang akhirnya dipulangkan kembali kepada kerajaan.


“Anak syarikat ditubuhkan untuk bantu kerajaan, bukan syarikat itu ditubuhkan supaya dibantu. Yang banyak sekarang ini, menubuhkan syarikat untuk dibantu, kalau asyik nak dibantu, baik kita tutup,” katanya ketika berucap merasmikan ‘Kursus Lembaga Pengarah Kumpulan PKNK 2025’ bertemakan ‘Bagaimana Lembaga Pengarah Boleh Membentuk Kejayaan Masa Depan’, di sini, hari ini.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Wira Isahak Murat.


Sanusi yang juga Pengerusi PKNK berkata, banyak anak syarikat kini menunjukkan perkembangan positif dan mula mencatat keuntungan, berbanding sebelumnya.


“Saya harap perkembangan positif itu berterusan untuk dorong syarikat-syarikat kita menjadi penyumbang kepada kerajaan negeri,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif termasuk pemberian tanah strategik dan projek-projek kerajaan untuk membantu anak syarikat yang dibelenggu hutang lama.


“Ada syarikat yang hutangnya lama tak terbayar. Kita bantu dengan beri projek supaya mereka boleh jana pendapatan dan bayar balik pinjaman. Saya harap akan bermula episod menyeronokkan, apabila syarikat mula bayar balik hutang dan menyumbang kepada kerajaan,” ujarnya.


Tambah beliau, antara penyumbang besar ialah PKNK yang menyumbang RM6 juta pada tahun ini dan menyasarkan RM10 juta pada 2026, selain beberapa syarikat kerajaan lain yang turut mencatat sumbangan besar seperti Lembaga Sumber Air Kedah sebanyak RM20 juta tahun lalu.


“Semua peluang perniagaan dan pelaburan mesti dimanfaatkan untuk menambah pendapatan kerajaan agar dapat disalurkan semula kepada 2.2 juta rakyat Kedah. Setiap sen yang kita jana mesti dipulangkan kembali dalam pelbagai bentuk manfaat,” katanya.


Dalam ucapannya, Sanusi turut mengingatkan ahli lembaga pengarah agar memainkan peranan penting dalam memastikan strategi tadbir urus tidak hanya merangkumi aspek keuntungan semata-mata tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat.


“Peranan lembaga pengarah penting dalam membentuk strategi organisasi, memastikan strategi dilaksanakan dengan berkesan dalam memastikan kejayaan jangka panjang. Keseimbangan antara penglibatan strategik lembaga dan peranan pengurusan penting, kita perlu hati-hati untuk tidak langkaui batas pengurusan,” jelas beliau.


Sanusi turut menyentuh isu pelantikan politik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menurutnya menjadi punca lembaga pengarah gagal berfungsi.


“Ramai dilantik bukan dalam bidang sesuai. Akhirnya jadi pak turut pengurusan, datang mesyuarat ambil elaun dan balik. Ini berlaku puluhan tahun,” tegasnya.


Beliau berkata, sejak mengambil alih pentadbiran pada 2020, kerajaan negeri mula mengutamakan pelantikan berasaskan merit, keupayaan sebenar dan profesionalisme, bukan atas kepentingan politik.


“Saya terpaksa buat begitu untuk menjadikan negeri ini, kerajaan negeri mahupun GLC serta rakyat lebih baik daripada sebelumnya, langkah ini perlu dilakukan.


“Maka tempat-tempat penting dalam syarikat utama diisi individu yang ada keupayaan dan kemampuan untuk memimpin syarikat membuat keputusan besar supaya dapat capai matlamat syarikat,” katanya.


Sanusi turut mengingatkan ahli lembaga pengarah bukan eksekutif tidak boleh mengarahkan pengurusan di luar batas kuasa, sebaliknya keputusan hanya boleh dibuat dalam mesyuarat lembaga pengarah.


“Ahli lembaga pengarah syarikat perlu meningkatkan keupayaan diri, jangan hanya bersandar kepada kedudukan,” katanya.


Beliau turut menekankan keperluan lembaga pengarah memahami peranan, meningkatkan kemahiran serta bersedia menghadapi risiko dan krisis yang tidak pasti.


Mengakhiri ucapan, Sanusi menyatakan keyakinan bahawa kerjasama antara sektor awam, swasta dan korporat akan terus mendorong tadbir urus berkesan, termasuk melalui inisiatif ‘The Greater Kedah 2050’.


“Dengan sokongan semua pihak, lebih banyak kejayaan mampu dicapai pada masa depan,” katanya.

Tiada ulasan