1 BULAN 1 SUKAN BAKAL GEGAR KEDAH
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kedah kini berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai negeri paling aktif dan dinamik dalam pembangunan sukan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Md Din berkata, bagi menjayakan misi besar itu, kerajaan negeri melaksanakan inisiatif terbaharu ‘Program 1 Bulan 1 Sukan’ yang akan bermula Januari ini.
“Bayangkan setiap kali permulaan bulan, seluruh negeri Jelapang Padi bukan sahaja sibuk dengan urusan harian, tetapi bergema dengan sorakan semangat kesukanan di padang, gelanggang dan lobi-lobi jabatan.
"Kita mahu melihat rakyat Kedah bukan sahaja produktif di tempat kerja, tetapi cergas dan harmoni dalam komuniti. Melalui sukan, kita bina jati diri dan semangat kekitaan yang lebih kental," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program 1 Bulan 1 Sukan, di Wisma Darul Aman.
Menurut Muhammad Radhi, program berkenaan bukan sekadar aktiviti fizikal bermusim, ia bakal menjadi gelombang gaya hidup yang dirancang rapi untuk menyatukan setiap lapisan rakyat daripada penjawat awam hingga ke komuniti luar bandar.
“Program ini akan diadakan setiap bulan pada Khamis minggu keempat, turut diadakan penganjuran klinik sukan dan sesi latihan bersama atlet profesional serta lagenda sukan tanah air.
“Kalendar sukan negeri yang bermula Januari ini akan diwarnai pelbagai disiplin. Tiada siapa yang tertinggal, daripada peminat tegar berbasikal, jaguh e-sport, hinggalah kepada peminat sukan tradisional seperti sepak takraw dan karom,” ujarnya.
Tambah beliau, program 1 bulan 1 Sukan tersebut akan dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada 29 Januari di Wisma Darul Aman.
Post a Comment