KEDAH PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA JCI TAITUNG, TAIWAN
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh hubungan dua hala di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama berterusan bersama Junior Chamber International (JCI) Taitung, Taiwan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Wong Chia Zhen berkata, usaha itu mencerminkan kesinambungan hubungan baik yang telah terjalin, selain membuka ruang kepada kerjasama strategik yang memberi manfaat jangka panjang kepada belia dan masyarakat setempat.
Menurutnya, pertemuan berkenaan menjadi platform penting bagi pertukaran idea, perkongsian amalan terbaik serta pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.
“Sebagai wakil kerajaan negeri, saya turut berkongsi pandangan mengenai inisiatif dan dasar kerajaan negeri, khususnya melibatkan pembangunan belia, tadbir urus tempatan, pembangunan ekonomi serta penglibatan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi JCI Taitung, Taiwan di Wisma Darul Aman, di sini.
Delegasi tersebut turut disertai wakil JCI Kulim dan Kerajaan Daerah Taitung, Taiwan yang diketuai oleh Magistrat Taitung, Yao Ching-Ling.
Chia Zhen berkata, jalinan kerjasama itu akan terus diperkukuhkan ke arah pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.
“Delegasi turut diberi peluang melawat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memahami dengan lebih dekat sistem pentadbiran serta proses perundangan di peringkat negeri,” ujarnya.
Post a Comment