Header Ads

test

KERAJAAN NEGERI LAKSANA INISIATIF BUDAYAKAN AMALAN KEBERSIHAN KALANGAN RAKYAT

 

Ku Azizah Ku Hamid 

KUBANG PASU - Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuhkan usaha membudayakan amalan kebersihan kalangan masyarakat melalui pelaksanaan program berterusan bagi mewujudkan persekitaran sihat, selamat dan lestari.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, inisiatif ini selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) selain menyokong usaha kerajaan negeri membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin serta prihatin terhadap kesihatan.

“Program yang dianjurkan bukan sekadar kempen bermusim atau simbolik. Ia menjadi platform kesedaran jangka panjang untuk membentuk sikap, nilai, dan budaya hidup bersih kalangan rakyat Kedah, khususnya di daerah Kubang Pasu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kedah Bersih dan Pelancaran Mini Jelajah ANMS Peringkat Kubang Pasu 2026 di Kampung Pida 3, Tunjang, hari ini.

Menurut Mansor, selain menitikberatkan kebersihan persekitaran, aspek kesejahteraan kesihatan awam dengan penglibatan komuniti dalam aktiviti pencegahan penyakit, pengurusan sisa pepejal, serta penjagaan kawasan awam turut diberikan tumpuan.

“Kerajaan negeri berharap program berterusan itu dapat menyemai kesedaran secara kolektif bahawa kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya satu amanah bersama demi kesejahteraan generasi masa hadapan,” ujarnya.

Beliau percaya dengan adanya penganjuran program secara berterusan, ia dijangka mampu meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan.

“Pelaksanaan program turut menekankan peranan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat dan sukarelawan bagi memastikan agenda kebersihan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan di peringkat akar umbi,” katanya.

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

#ADUNKualaKetil

Tiada ulasan