Header Ads

test

JANGAN SESUKA HATI LANGGAR SYARAT, CEROBOH TANAH - SANUSI

 


Roslinda Hashim
Ketua Pengarang UPDA

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar syarat tanah atau menceroboh tanah kerajaan kerana tindakan tegas boleh diambil termasuk dilucutkan hak milik mengikut peruntukan undang-undang.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mana-mana pelanggaran syarat tanah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 127 hingga Seksyen 129 Kanun Tanah Negara (KTN).
Menurutnya, kerajaan tidak harus dipersalahkan sekiranya penguatkuasaan tersebut dilaksanakan.
“Jangan kata kerajaan negeri kejam kerana undang-undang memang menetapkan sedemikian. Kalau salah, tetap salah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat 2026 sempena Program Amanat Tahun Baharu Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Sanusi jelaskan, pemilik bangunan perniagaan atau industri yang terletak di atas tanah yang tidak bersyarat perlu memohon permit daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi membolehkan aktiviti diteruskan secara sah.
“Tanah pertanian dibuat bangunan atau perniagaan, tetapi cukai yang dibayar masih cukai pertanian. Ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dan sebab itu perkara ini dipandang serius serta perlu dititikberatkan semua pihak,” katanya.
Menurutnya, kegagalan mematuhi syarat atau kategori tanah bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan negeri apabila cukai dibayar tidak selari dengan penggunaan sebenar tanah.
Beliau turut menegaskan aspek penguatkuasaan tidak boleh dilakukan secara pilih kasih kerana membiarkan pelanggaran syarat hanya akan mengundang lebih banyak kesalahan lain.
“Tanah pertanian tak boleh tiba-tiba jadi gudang atau kilang tanpa kebenaran. Kalau kita biar, orang lain pun ikut. Akhirnya undang-undang tinggal nama.
“Beban ini bukan hanya terletak kepada PTG atau Pejabat Tanah Daerah (PTD), tetapi juga agensi lain yang terlibat dalam rantaian ekonomi termasuk yang mengeluarkan permit,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Sanusi turut menyentuh isu pencerobohan kawasan hutan secara haram yang disifatkannya semakin licik apabila ada pihak sanggup menyediakan pelan dengan harapan kawasan diteroka itu akhirnya diiktiraf sebagai hak milik.
“Dulu tebang senyap-senyap, sekarang siap ada pelan. Sempadan hutan sudah jelas, kenapa ceroboh? Kalau lot lidi ada kartel dan sindiket, pembukaan kawasan baharu ini pun sama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerjasama lebih erat antara PTG dan agensi berkaitan khususnya Jabatan Perhutanan, selain mengkaji semula dasar pengiktirafan usaha awal tanah kerajaan.
Sanusi turut memaklumkan, pencerobohan kawasan persisir pantai dan tebing sungai, khususnya di laluan dari Kota Kuala Muda, Tanjung Jaga hingga Kuala Sanglang turut didakwa semakin berleluasa.
“Jangan mudah-mudah kita ‘legalise’ salah nyata di depan mata atas alasan mahu kutip hasil melalui Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan sebagainya.
“Saya cadangkan isu pencerobohan tanah kerajaan, kawasan hutan dan persisir pantai dijadikan agenda tetap Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah supaya semua pihak lebih peka dan bertanggungjawab,” katanya.
Tambah beliau lagi, pengusaha kuari juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kita anggap mereka sebagai rakan strategik sebab mereka ada kepakaran, perkakasan dan sokongan kewangan bagi menjalankan aktiviti pengkuarian. Rakan yang baik mesti ikut peraturan.
“Kita memang nak hasil tapi bukanlah sampai rosakkan alam sekitar dan keselamatan penduduk setempat.
“Kita mahu situasi menang-menang, bukan menang sekarang, rugi kemudian. Kalau tebing sungai runtuh dan alam sekitar rosak, rakyat akan marah kerajaan dan pejabat tanah jadi sasaran,” katanya.
Beliau tidak menafikan terdapat segelintir pengusaha kuari cuba mengambil jalan mudah dengan melanggar peraturan.
“Kerajaan berbesar hati pertimbang kelulusan permit atau lesen untuk berkongsi rezeki, tetapi jangan sampai ada yang mencuri. Tak dinafikan, ada yang lebih licin daripada belut,” katanya.

Tiada ulasan