Header Ads

test

KERAJAAN KEDAH PERKETAT PENGUATKUASAAN, BANTERAS KARTEL LOT LIDI

 


Roslinda Hashim
Ketua Pengarang UPDA

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua agensi penguatkuasaan di negeri ini diminta turut serta membendung aktiviti penjualan tanah lot lidi termasuk mengesan 'barua' kartel atau dalang yang terlibat mempromosikannya.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri Kedah beriltizam untuk menoktahkan isu penjualan lot lidi secara haram mulai tahun ini, dengan memperketatkan penguatkuasaan bagi mengelak orang awam terus menjadi mangsa penipuan sindiket tanah.
Menurutnya, aktiviti lot lidi digerakkan secara terancang oleh kartel atau sindiket yang bergerak dalam kumpulan dengan matlamat utama meraih keuntungan wang ringgit tanpa mempedulikan undang-undang dan keadilan kepada pembeli.
“Saya sedih kalau ada kalangan orang pejabat tanah sendiri yang menjadi dalang dan pemudah cara atau bahasa kasarnya ‘barua’ kartel dalam mempromosikan lot lidi.
“Niat kononnya mahu bantu orang miliki tanah, tetapi dari sudut moral dan undang-undang, ia jauh menyimpang. Beringatlah, kita tinggalkan anak cucu yang mungkin menjadi mangsa pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2026 sempena Program Amanat Tahun Baharu Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Sanusi berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan memecah satu lot tanah besar kepada puluhan petak, melukis pelan, membuat iklan dan menjualnya dengan mengambil untung atas angin.
“Konon ini sajalah cara untuk bantu orang miliki tanah sendiri, walaupun hak milik tanah hanya kekal atas satu nama, menyebabkan pembeli tidak boleh mendaftarkan nama masing-masing.
“Kalau ada 48 pembeli, satu pun tak boleh masuk nama. Bila pemilik asal meninggal dunia, tanah itu perlu melalui proses faraid dan akhirnya menyusahkan banyak pihak. Jangan ambil mudah,” katanya.
Beliau tegaskan, isu lot lidi bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya membabitkan keadilan, apabila pembeli menjadi mangsa sedangkan pejabat tanah pula dijadikan sasaran kemarahan.
“Tahun ini, saya mahu kita lebih berani berkata ‘tidak boleh’ daripada sibuk membaiki masalah yang sepatutnya tidak berlaku,” katanya.
Dalam sidang akhbar, Sanusi memaklumkan, penjualan lot lidi melanggar tiga undang-undang utama, iaitu Kanun Tanah Negara (KTN), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Kita tak benarkan lagi skim lot lidi baharu, skim lama yang berpotensi untuk diputihkan perlu dikaji secara teliti dalam kerangka perundangan sedia ada melalui perbincangan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Tanah Daerah (PTD) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Perkemaskan penguatkuasaan di semua daerah. Buat rondaan dan tanggalkan iklan jualan tanah yang dipecah secara tidak sah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat Kedah yang kurang jelas mengenai urusan pembelian tanah supaya merujuk terus kepada pejabat tanah, selain tidak memilih jalan mudah walaupun isu tersebut telah lama berlarutan.
“Kerajaan negeri telah mengadakan pelbagai seminar dan program penerangan. Penguatkuasaan akan terus diperkasakan dan saya harap tiada lagi jual beli lot lidi berlaku di mana-mana daerah di Kedah,” katanya.

Tiada ulasan