Header Ads

test

JTPL PERKASA SEKTOR PELANCONGAN LANGKAWI

Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Langkawi (JTPL) ditubuhkan untuk memperkasakan lagi sektor pelancongan di pulau legenda itu dan sebagai platform yang berfungsi untuk mengumpul dan membincangkan isu-isu pelancongan Langkawi secara berkala, menyeluruh serta memastikan tindakan dapat dibuat dengan segera, tepat dan berkesan.
Jawatankuasa ini juga menjadi ruang penyelarasan yang menghimpunkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pihak industri serta semua pihak yang berkaitan agar setiap keputusan dapat diambil secara lebih pantas, realistik dan berorientasikan penyelesaian.
Dalam masa yang sama, ia berperanan menyediakan laporan serta syor tindakan kepada kerajaan negeri dan persekutuan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin, semua itu digerakkan dengan satu matlamat iaitu mahu Langkawi terus menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong, bukan sahaja cantik pada pemandangan, tetapi juga cemerlang pada pengurusan, perkhidmatan, kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan destinasi secara menyeluruh.
Beliau telah mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Langkawi (JTPL) bertempat di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi.
Mesyuarat tersebut turut menekankan mengenai keperluan memanfaatkan peluang yang datang bersama penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026, dan memastikan Langkawi menjadi destinasi pilihan utama setiap pelancong yang datang ke negara ini.
Keputusan penting lain yang dibuat dalam mesyuarat itu ialah rancangan untuk mewujudkan ‘Langkawi Care’ sebagai salah satu inisiatif yang akan menyokong usaha penjagaan imej destinasi, kebajikan pelancong serta memperkukuh kesiapsiagaan Langkawi dalam menghadapi apa jua situasi.
Dato' Mohd Salleh yakin dengan kesatuan tindakan, kejelasan peranan dan komitmen semua pihak, Langkawi bukan sahaja mampu kekal sebagai permata pelancongan negara, tetapi boleh melonjak lebih tinggi sebagai model destinasi yang berkelas, tersusun, selamat dan dihormati.

Tiada ulasan