Header Ads

test

KEBAKARAN TAPAK PELUPUSAN HARAM KAMPUNG BESAH BELUM PADAM SEPENUHNYA

 

Roslinda Hashim
BALING - Kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Besah, mukim Tawar di sini yang berlaku sekitar 10.00 pagi Selasa, masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pembakaran terbuka itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesan pencemaran alam sekitar khususnya kesihatan penduduk setempat.
Menurutnya, kejadian itu disedari selepas Balai Bomba dan Penyelamat Baling menerima panggilan kecemasan pada 12.00 tengah hari Selasa sebelum bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka bagi mengurangkan kesan penyedutan asap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mansor turut merakamkan penghargaan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang telah menyediakan bekalan air secukupnya kepada pihak bomba bagi membantu proses pemadaman api.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab memaklumkan, keluasan tapak pelupusan haram terbabit dianggarkan seluas 0.5 hektar dengan ketinggian longgokan sampah kira-kira 30 kaki, terletak di tepi jalan dan berhampiran sungai.
“Kita telah jalankan persampelan rasmi di lokasi kejadian dan semua sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk dianalisa,” katanya.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan mendapati api masih belum padam sepenuhnya dan terdapat longgokan sampah serta plastik di tapak pelupusan haram ini yang dipercayai dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kes berkaitan tapak pelupusan haram ini akan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Sementara JAS Kedah akan meneruskan siasatan aktiviti pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Sharifah Zakiah tegaskan, pemilik tanah bertanggungjawab memastikan tanah milik mereka tidak dijadikan tapak pelupusan haram atau membenarkan aktiviti pembakaran terbuka berlaku.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta hubungi JAS Kedah di talian 04-733 2832 atau JAS cawangan Kulim di talian 04-403 7675,” katanya.
Tambahnya, pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan tiada lagi pembakaran terbuka dan semua premis mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan-peraturan di bawahnya.

Tiada ulasan