KEBAKARAN TAPAK PELUPUSAN SISA PEPEJAL PADANG CINA: REKOD IPU SEDERHANA, PENDUDUK DIMINTA WASPADA
Roslinda Hashim
KULIM - Kebakaran membabitkan kawasan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Padang Cina melibatkan keluasan kira-kira 1.4 hektar pada Selasa, menimbulkan kebimbangan terhadap risiko pencemaran udara di kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Hajah Ustazah Siti Ashah Haji Ghazali berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini direkodkan pada paras 60, iaitu dalam kategori sederhana.
Menurut beliau, orang ramai khususnya penduduk sekitar Padang Cina, Merbau Pulas dan kawasan berhampiran dinasihatkan agar tidak memandang ringan aspek kesihatan berikutan pendedahan kepada asap kebakaran.
“Orang ramai digalakkan memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa melalui aplikasi MyEQMS atau laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar.
“Penduduk sekitar juga diminta agar tidak panik dan rujuk saluran maklumat rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Siti Ashah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan turut menasihatkan penduduk setempat supaya memakai pelitup muka ketika berada di luar serta mengurangkan aktiviti luar.
“Beri keutamaan kepada aspek penjagaan kesihatan, khususnya berkaitan risiko pencemaran udara akibat asap kebakaran.
“Pastikan golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung serta individu yang mempunyai masalah pernafasan kekal berada di dalam rumah,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mengalami simptom seperti sesak nafas, batuk berterusan atau ketidakselesaan pernafasan diminta mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Dalam pada itu, Siti Ashah menyatakan penghargaan terhadap usaha berterusan Majlis Perbandaran Kulim, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua agensi berkaitan dalam mengawal dan memantau situasi kebakaran tersebut demi keselamatan orang awam.
Sementara, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab memaklumkan,
kebakaran berlaku di kawasan sel 1 dan sel 2 di tapak pelupusan berkenaan.
"Bacaan IPU bagi stesen pengawasan kualiti udara ambien terdekat di Stesen Kulim Hi-Tech mencatatkan bacaan 60, iaitu dalam kategori sederhana.
"JAS Kedah juga menjalankan pemantauan menggunakan peralatan meter gas bagi mengesan sekiranya terdapat kehadiran gas-gas pencemar lain," katanya.
Tambah beliau, pemantauan udara menggunakan dron turut dilakukan selain memasang alat pengukuran gas bagi memantau tahap kualiti udara di sekitar lokasi kejadian, bagi mengenal pasti impak ke kawasan sensitif seperti kawasan perumahan dan sekolah.
Menurut Sharifah Zakiah, JAS juga menjalankan siasatan berhubung kejadian di bawah Seksyen 29A (2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Boleh dikenakan juga denda tambahan tidak melebihi RM5,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan dilakukan selepas notis diserahkan, atau kompaun tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum,” katanya.

Post a Comment