Header Ads

test

SANUSI PERJELAS PENINGKATAN HASIL NEGERI, TANPA KENAIKAN CUKAI TANAH

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kutipan hasil tinggi yang direkodkan pada tahun 2025 sebanyak RM816 juta, bukan disebabkan kenaikan cukai tanah, sebaliknya hasil pertumbuhan pesat projek pembangunan dan penukaran status tanah kepada komersial serta industri.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penjelasan itu dibuat berikutan terdapat pihak yang mempersoalkan bagaimana kutipan hasil negeri boleh meningkat sedangkan kadar cukai tanah kekal dan tidak berubah.
Menurut beliau, peningkatan hasil tersebut adalah kesan langsung daripada pertambahan projek pembangunan, khususnya penukaran tanah pertanian kepada tanah komersial dan industri yang melibatkan bayaran premium serta kadar cukai lebih tinggi.
“Bila tanah pertanian ditukar kepada syarat industri atau komersial, ada bayaran penukaran yang perlu dibayar. Apabila banyak projek pembangunan berlaku, kutipan hasil negeri juga meningkat.
“Bukan kerana cukai dinaikkan, tetapi kerana pembangunan semakin rancak di Kedah. Dengan meningkatnya kutipan hasil, membuktikan banyaknya projek pembangunan di negeri ini, kadar cukai masih sama,” katanya lagi.
Sanusi turut menjelaskan, cukai tanah bagi kawasan sawah padi di seluruh Kedah melibatkan kira-kira 222,000 hektar hanya menyumbang sekitar RM2.5 juta setahun, memandangkan tanah bersyarat pertanian dikenakan kadar cukai minimum serendah RM10.
Pada 12 Januari lalu, Sanusi memaklumkan kadar cukai tanah bagi tahun 2026 tidak dinaikkan berikutan cadangan semakan kadar tersebut masih belum mendapat kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN), walaupun telah dibentangkan oleh kerajaan negeri.
Mengulas trend kutipan hasil negeri sejak 25 tahun lalu, Sanusi berkata, pada tahun 2000, Kedah merekodkan kutipan sekitar RM280 juta, meningkat kepada RM438 juta pada 2010 ketika pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
Menurutnya, pada tahun 2019, kutipan melonjak kepada RM758 juta berikutan Kedah yang ditadbir Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika itu menerima bantuan khas RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Pencapaian RM816 juta pada 2025 adalah hasil tadbir urus kerajaan negeri yang berhemah dan berintegriti, kita tidak dapat duit percuma.
“Ini hasil kita urus, tadbir dan kutip sendiri sehingga kita berjaya kutip hasil tertinggi dalam sejarah negeri Kedah, membuktikan pemimpin PAS pandai mengurus kerajaan,” katanya.
Sanusi turut menyasarkan kutipan hasil negeri mampu mencecah RM1 bilion menjelang 2028.
“Kutipan zakat negeri mencatatkan RM324 juta pada 2025, ini menjadikan keseluruhan hasil melepasi RM1 bilion. Kutipan zakat pun saban tahun meningkat, sebelum ini pada tahun 2024 kutipan RM308 juta.
“Ia berkat bekerja dengan betul tanpa menipu orang, tak curi duit, tiada rasuah, bekerja dengan ikhlas barulah rezeki datang dengan sendiri, dengan izin ALLAH SWT,” katanya.
Beliau tegaskan, segala hasil negeri adalah amanah rakyat dan perlu diurus secara telus tanpa pembaziran, selain menyeru semua agensi pemungut hasil agar terus bekerja dengan penuh tanggungjawab.
“Harus diingat ini duit kerajaan, bukan duit kita. Sebagai kerajaan, kita perlu amanah, jangan kacau duit itu, jangan merapu, belanja satu sen pun perlu dikira,” ujarnya.
Pada 7 Januari, Sanusi mengumumkan Kedah mencatatkan kutipan hasil negeri tertinggi dalam tempoh 25 tahun dengan nilai RM816 juta, melepasi sasaran ditetapkan pada kadar 103 peratus dan mengatasi sasaran RM790 juta.
Menurutnya, kutipan hasil negeri menunjukkan trend peningkatan konsisten daripada RM629 juta pada 2023, meningkat kepada RM769 juta pada 2024, sebelum mencapai RM816 juta pada 2025, selain merekodkan lebihan atau surplus RM48 juta.
Dalam pada itu, Sanusi menempelak segelintir pihak yang mendakwa tiada projek pembangunan bawah pentadbiran beliau.
“Ada yang kata Sanusi tak buat apa-apa, nak buat apa lagi sebab semua sudah ada. Kalau ketika ambil alih kerajaan, jalan raya tak elok boleh saya buat jalan raya baru. Kalau ada bangunan diruntuhkan, kita boleh bina baru.
“Ada banyak kita buat pun, antara projek pembangunan yang siap, asrama pelajar tahfiz Institut Quran Darul Aman (IQDAR) bernilai RM15 juta di Jalan Sultanah menempatkan 300 penghuni dan dijangka dirasmikan selepas Aidilfitri,” katanya.

Tiada ulasan