KEDAH MILIKI KLUSTER INDUSTRI BERTARAF DUNIA, PILIHAN PELABUR ANTARABANGSA - SANUSI
Roslinda Hashim
KEPALA BATAS - Pengembangan sektor perindustrian di Kedah diperkukuhkan dengan wujudnya kluster bertaraf dunia yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu disumbangkan oleh inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada sektor industri.
Menurut beliau, beberapa kluster industri bertaraf dunia yang menjadi pilihan pelabur ialah Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sebagai hab global industri semikonduktor dan elektronik, Kedah Rubber City (KRC) bagi industri hiliran berasaskan getah, Kulim East Industrial Park berteraskan teknologi hijau serta Zon Ekonomi Khas Sempadan (SBEZ) Bukit Kayu Hitam sebagai pintu masuk logistik strategik rantau ini.
“Kawasan SBEZ khususnya Delapan dijangka muncul sebagai zon industri baharu yang akan melonjakkan nama Kedah di persada antarabangsa, ekoran kedudukannya bersebelahan sempadan Thailand.
“Inilah persekitaran industri yang kita sediakan di negeri ini dengan segala kemudahan yang ada untuk sambut kehadiran pelabur dan bantu apa yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Industri Negeri Kedah 2026 di Bertam Resort & Water Park, di sini, bagi meraikan pelabur dan rakan strategik yang memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan.
Sanusi berkata, Kedah terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara destinasi pelaburan utama negara apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM17.53 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, sekali gus menduduki antara lima negeri teratas dalam negara.
“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap ekosistem industri yang dibangunkan Kerajaan Negeri, merangkumi dasar mesra pelabur, infrastruktur lengkap serta tadbir urus berkesan,” ujarnya.
Menurut beliau, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor pembuatan menyumbang RM15.80 bilion menerusi 62 projek, manakala sektor perkhidmatan mencatat RM438.8 juta melalui 36 projek, sekali gus mewujudkan 7,823 peluang pekerjaan baharu.
“Kejayaan ini bukan sekadar angka, ia menunjukkan pertumbuhan yang baik di Kedah selain melambangkan kepercayaan pelabur yang menghidupkan taman perindustrian, menawarkan peluang pekerjaan untuk rakyat, pengukuhan pendapatan keluarga serta jaminan masa depan komuniti,” katanya.
Sanusi jelaskan, transformasi ekonomi Kedah daripada sebuah negeri pertanian kepada ekonomi moden dipacu industri dan teknologi adalah hasil perancangan berani dan terancang sejak tiga dekad lalu.
“Dalam tempoh 30 tahun terakhir, kita sedar sektor pertanian semata-mata tidak mencukupi untuk kekal relevan dan berdaya saing, Kedah mesti berevolusi.
“Dalam tempoh itu, industri telah berkembang pesat di Kedah khususnya Kulim yang kini dicatatkan dalam peta dunia sebagai hab kepada kemunculan teknologi tinggi, dan dunia bergantung kepada Kedah dalam beberapa sektor pembuatan,” katanya.
Tambah beliau, ketika ini lebih 45,000 pekerja berkhidmat di KHTP, selain ribuan lagi di kawasan industri sekitar Kulim, Sungai Petani, Gurun dan Bukit Kayu Hitam, dengan majoritinya terdiri daripada anak Kedah dan negeri berjiran.
Mengulas lanjut, beliau jelaskan, peningkatan mendadak kemasukan pelabur sejak lima tahun lalu menyebabkan KHTP kehabisan kawasan baharu pada tahun 2020, sekali gus mendorong pembukaan Fasa 4A seluas 248 ekar dan seterusnya pembukaan Fasa 5 yang akan dikenali sebagai KHTP 2.0.
“Pasaran menjadi semakin kompetitif, kompleks dan saling bergantung. Kedah memilih untuk berada di pusat peluang, bukan di pinggiran.
“Kita juga tawarkan kawasan industri di Sungai Petani dan Gurun untuk diterokai, bagi memperluaskan sektor-sektor baharu yang diperlukan dalam dunia industri hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pada tahun 2024, Kedah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM45.8 bilion, antara yang tertinggi dalam negara.
“Ini merupakan hasil kerjasama kukuh antara Kerajaan Negeri, agensi-agensi Persekutuan serta sektor swasta yang telah memainkan peranan.
“Biarpun ada yang sinis tentang kejayaan ini. Macam kita tadah timba saja, mereka yang mari tuang semua. Kalau timba itu tak elok, takkan orang nak mari tuang. Kalau timba tiris, bocor, siapa nak mari tuang. Kalau tiada lembah yang baik untuk orang datang bercucuk tanam, datanglah benih terbaik pun, benih itu tidak akan hidup,” katanya.
Sehubungan itu, kerjasama strategik agensi kerajaan Persekutuan dan negeri wajar diperkukuhkan dan saling menghargai selain tidak menafikan peranan masing-masing.
“Kedah yang terkenal dalam sektor pertanian kini turut dicemburui dalam sektor industri. Kita berjaya menyediakan persekitaran industri yang sesuai sebagai tarikan kepada pelabur luar mahupun domestik,” ujarnya.

Post a Comment