SOLIDARITI KEDAH BERSAMA PALESTIN TIDAK AKAN TERHENTI
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah menyatakan komitmen berterusan dalam menyokong perjuangan pembebasan Baitul Maqdis serta kemanusiaan terhadap rakyat Palestin, meskipun isu tersebut dilihat semakin kurang mendapat liputan media arus perdana.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, isu Palestin bukan isu politik kepartian, sebaliknya isu kemanusiaan sejagat yang wajar diperjuangkan secara berterusan selari dengan prinsip Islam dan aspirasi ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.
“Usaha menyemarakkan kesedaran masyarakat terhadap isu Palestin perlu diteruskan.
“Ia susulan kekejaman dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin masih berterusan dan dilaporkan hampir setiap hari, melibatkan kanak-kanak, wanita, warga emas, wartawan serta aktivis kemanusiaan.
"Ia menuntut keprihatinan dan tindakan berterusan masyarakat Islam serta antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutup Minggu Al-Quds Sedunia 2026, di Dataran Medan Bandar, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Azam, program penutup tersebut merupakan kemuncak kepada rangkaian aktiviti yang dilaksanakan sejak malam semalam, termasuk solat hajat dan bacaan Yasin di seluruh masjid di Kedah, diikuti Qiamullail di Masjid Zahir serta Kedah Walk 4 Palestine.
“Sokongan kepada saudara kita di Palestin perlu diterjemahkan melalui doa, sumbangan, advokasi kemanusiaan serta pendidikan berterusan kepada generasi muda supaya isu Palestin sentiasa kekal dalam perhatian umat Islam,” ujar beliau.

Post a Comment