Header Ads

test

PEMAIN PILIHAN BETONG, THAILAND SEDIA 'KUNCI' BADDROL BAKHTIAR

 

Oleh: Ahmad Rado & Mohd Syukor Mat Piah

KUPANG - Pasukan bola sepak Pilihan Betong, Thailand mengakui sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan kelicikan legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar, menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Pilihan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, Sabtu ini.

Pengurus Pasukan Pilihan Betong, Mat Yen berkata, pengalaman luas Baddrol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dilihat mampu menjadi ancaman kepada pasukannya ‘berputih mata’, sekali gus memaksa mereka membuat persiapan rapi.

“Kami datang untuk menang dan sedia berikan tentangan sengit. Kami sedar kemampuan Baddrol yang berpengalaman luas mampu musnahkan impian kami, lima pemain ditugaskan khusus untuk ‘mengunci’ pergerakannya di atas padang.

“Benteng pertahanan Betong sudah siap sedia dan berwaspada dengan asakan semua pemain Pilihan PKWR Kupang," katanya. 

Menurut Inspektor Polis Betong itu, keazaman pasukan tuan rumah untuk menebus kekalahan Pilihan Baling kepada Pilihan Betong pada perlawanan tahun lalu dijangka menjadikan pertemuan kali ini lebih sengit dan dramatik.

Dalam pada itu, pasukan dari negara jiran itu merakamkan penghargaan kepada ADUN Kupang, Dato’ Hj Najmi Ahmad serta kerajaan negeri selaku penganjur bersama atas jemputan pada edisi kali ini.

Perlawanan persahabatan antarabangsa tersebut diadakan sempena Program Hari Komuniti Kampungku Sejahtera 2026 Daerah Baling anjuran Kerajaan Negeri Kedah, yang berlangsung di Padang Awam Kupang pada 5 petang, Sabtu ini.

Selain perlawanan bola sepak, program yang bermula seawal 8.00 pagi hingga 4.00 petang di Dewan Badminton Kupang itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah, jualan sejahtera, pertandingan mewarna kanak-kanak,  Orang Kampung Got Talent serta penilaian Kampung Tercantik.

Majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Ghazali.

Jom datang beramai-ramai untuk memeriahkan Program Hari Komuniti Kampungku Sejahtera Daerah Baling 2026!

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

#bolasepak

Tiada ulasan