KEDAH PERKUKUH INFRASTRUKTUR BEKALAN AIR SOKONG PELABURAN KHTP
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah komited memperkukuh infrastruktur bekalan air bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan baharu, khususnya di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang terus berkembang pesat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria berkata, kesiapsiagaan sistem bekalan air perlu diberi keutamaan bagi memastikan keperluan sektor industri dapat dipenuhi secara mampan dan berterusan.
Menurut beliau, rekod menunjukkan jumlah tenaga kerja di KHTP pada tahun 2024 mencecah seramai 45,131 orang, sekali gus mencerminkan peningkatan pelaburan serta aktiviti industri berteknologi tinggi semakin berkembang pesat di kawasan berkenaan.
“Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap perancangan awal bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan air pada masa hadapan, terutama apabila KHTP kini berada dalam fasa pengembangan terbesar sejak penubuhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat dan Sesi Libat Urus Teknikal bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) berhubung keperluan bekalan air bagi projek pembangunan KHTP di Bilik Mesyuarat SADA, di sini.
Mohamad Yusuf berkata, sesi libat urus itu diadakan bagi memperhalusi perancangan dan pengurusan bekalan air susulan KHTP kini memasuki Fasa 5, yang dijangka meningkatkan keperluan air secara signifikan.
Tambah beliau lagi, bekalan air yang mencukupi, stabil dan mampan merupakan faktor utama dalam menjamin kelangsungan operasi industri berteknologi tinggi, di samping memastikan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.

Post a Comment