BOLA SEPAK PERSAHABATAN KUPANG-BETONG ERATKAN HUBUNGAN DUA NEGARA
Ammar Abd Hadi & Mohd Khairul Abd Rahman
KUPANG - Perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa antara Pilihan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dan pasukan Pilihan Betong, Thailand bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara dua negeri dan dua negara berjiran.
Pengurus pasukan PKWR Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar berkata, perlawanan yang akan diadakan di Padang Awam Kupang pada 5.00 petang Sabtu ini membawa pengertian besar dalam memperkukuh ukhwah masyarakat setempat serta hubungan rentas sempadan, walaupun hanya berstatus persahabatan.
Menurutnya, program tersebut secara tidak langsung turut mendekatkan penduduk dengan pemimpin setempat dan negeri, selain merapatkan hubungan masyarakat dengan PKWR sebagai jambatan pemudah cara dalam menangani permasalahan setempat.
“Perlawanan ini jangan dilihat sekadar hiburan di atas padang. Ia menjadi medium untuk memperkukuhkan perpaduan, membina hubungan erat antara rakyat dan kepimpinan serta mengukuhkan peranan PKWR dalam komuniti,” katanya kepada Media Penerangan PAS Kupang, hari ini.
Mohd Sabri memaklumkan, pasukan PKWR Kupang dijangka diperkuatkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar serta Menteri Besar Kedah merangkap ADUN Jeneri, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Kehadiran dua pemimpin ini pastinya menyuntik semangat kepada pemain dan menjadi daya penarik kepada peminat bola sepak untuk hadir menyaksikan aksi kedua-dua tokoh itu di atas padang,” katanya.
Mengulas persediaan berhadapan pasukan lawan, Mohd Sabri berkata, pihaknya tidak memandang ringan keupayaan Pilihan Betong walaupun beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penyokong tempatan.
“Walaupun kita bermain di laman sendiri, kita tetap menghormati kekuatan Pilihan Betong. Mereka bukan pasukan yang boleh dipandang ringan dan sudah beberapa kali bertandang serta bermain di sini, jadi faktor itu boleh menjadi kelebihan buat mereka juga,” katanya.
Orang ramai khususnya peminat bola sepak dari sekitar Baling, Sik, Kulim, Pangkalan Hulu serta Gerik, Perak dijemput hadir menyaksikan perlawanan persahabatan itu yang diadakan sempena Hari Komuniti Kampungku Sejahtera 2026.

Post a Comment