KERAJAAN NEGERI SEDIA BANTU PEMBANGUNAN LADANG TERNAKAN LEMBU
Ku Azizah Ku Hamid
KUALA NERANG - Kerajaan Negeri Kedah bersedia menyalurkan bantuan kepada pengusaha ladang ternakan lembu tempatan yang berpotensi besar serta menunjukkan komitmen tinggi dalam industri tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani berkata, kerajaan negeri juga menzahirkan sokongan penuh terhadap pembangunan ladang ternakan selepas berpuas hati dengan pengurusan Ladang Ternakan Lembu Hikmah Machang Enterprise, milik Mohamad Zakir Mustapha.
Menurutnya, ladang berkenaan diurus secara sistematik dengan tahap kebersihan yang baik, termasuk amalan memandikan ternakan setiap hari serta penyusunan kandang yang teratur.
"Saya dimaklumkan kandang sedia ada di situ hanya mampu menampung kira-kira 80 ekor lembu, sementara keperluan sebenar untuk tujuan kuarantin ialah 150 ekor,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Ladang Ternakan Lembu Hikmah Machang Enterprise, di sini, hari ini.
Berikutan itu, Dzowahir tegaskan, sokongan berterusan kerajaan negeri bukan sahaja dapat membantu pengusaha tempatan seperti Mohamad Zakir mengembangkan operasi ternakan, malah turut menyumbang kepada pembangunan sektor ternakan negeri.
“Selaku Exco Pertanian dan Perladangan, saya menyatakan komitmen untuk membantu serta memperluaskan fasiliti ladang bagi memenuhi keperluan dan permintaan yang semakin meningkat di kawasan ini,” katanya.
Tambah beliau, diharapkan usahawan ternakan tempatan terus maju dan ladang yang berpotensi dapat dibangunkan sebagai salah satu hab ternakan serta pusat penyembelihan yang diiktiraf pada masa hadapan.
"Semoga Mohamad Zakir menjadi usahawan ternakan yang berjaya dan tempat ini kelak menjadi salah satu hab ternakan dan pusat penyembelihan yang diiktiraf," katanya.

Post a Comment