KOMAZ DIANUGERAHKAN DESTINASI PELANCONGAN ‘SILENT TOURISM’ PERTAMA DALAM NEGARA
ALOR SETAR – Kedah mencipta sejarah dalam industri pelancongan apabila Koperasi Kariah Masjid Zahir Kedah Berhad (KOMAZ) dinobatkan sebagai destinasi pelancongan ‘Silent Tourism’ yang pertama dalam negara.
Pengerusi KOMAZ, Zainul Jamal Abdul Ghani berkata, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, ia berfungsi sebagai insentif strategik bagi memastikan kesinambungan usaha kelestarian bagi tempoh 40 tahun akan datang, selari dengan sasaran mewujudkan impak jangka panjang yang mampan.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut dianugerahkan sempena Malaysia Global Sustainability Awards 2025 anjuran Sustainability Network pada 8 Januari lalu.
“Pengiktirafan ini diberikan melalui pelaksanaan projek ‘Silent Heritage: Kisah Kedah Tanpa Suara’, sebuah inisiatif yang dilaksanakan secara kolaboratif bersama Persatuan Pekak Negeri Kedah.
“Projek ini bukan sahaja mengangkat warisan negeri Kedah melalui pendekatan inklusif, malah menjadi pemangkin kepada pengenalan konsep ‘Silent Tourism’, iaitu perkhidmatan pemandu pelancong menggunakan bahasa isyarat.
“Ia turut membuka peluang sumber pendapatan baharu, memperluaskan perkongsian ilmu dalam industri pelancongan serta berpotensi menarik kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Zainul Jamal memaklumkan, pelaksanaan ‘Silent Tourism’ merupakan produk pelancongan patuh syariah yang berstruktur, beradab, berteraskan teknologi serta berimpak ekonomi, sekali gus menjadikannya sebagai dasar pelancongan masjid, selari dengan aspirasi pembangunan mampan, Maqasid Syariah dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Pendekatan ini bukan sahaja memelihara kesucian masjid, malah membuka ruang kepada penjanaan ekonomi ummah secara berstruktur melalui KOMAZ.
“Berdasarkan kajian berkaitan cabaran yang bakal dihadapi dalam tempoh 40 tahun akan datang, KOMAZ telah mengambil langkah proaktif melaksanakan inisiatif yang termampu sebagai persediaan kepada landskap sosioekonomi dan kelestarian masa depan,” jelasnya.
Beliau yang juga Ketua Projek ‘Silent Tourism’ menjelaskan, inisiatif ini berjaya menempatkan Kedah sebagai perintis dalam pelancongan inklusif berteraskan kelestarian, sekali gus membuka lembaran baharu kepada ekosistem pelancongan negeri.
“Kelestarian bukan sahaja bertumpu kepada pemeliharaan alam sekitar, malah merangkumi pembangunan sosial yang seimbang, pemerkasaan komuniti setempat serta pemuliharaan warisan sebagai aset strategik untuk generasi akan datang,” katanya.
Post a Comment