Header Ads

test

REMAJA LEMAS DI SUNGAI SEDIM DISIFATKAN SEORANG YANG SETIA PADA RAKAN

 

Ku Azizah Ku Hamid

MERBAU PULAS - Muhammad Haziq Danish Mohd Hafizul Khairi, 16, yang ditemukan lemas ketika mahu menyelamatkan rakannya di Sungai Sedim, disifatkan sebagai seorang rakan yang setia.
Wakil dari Pejabat Menteri Besar Kedah, Ustaz Nasrun Othman berkata, ahli keluarga mangsa menyifatkan arwah Muhammad Haziq Danish sangat mengambil berat terhadap rakan-rakan rapatnya sehingga sanggup berkorban nyawa.
Menurutnya, pemergian pelajar tingkatan empat itu juga dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai.
“Seluruh kepimpinan negeri termasuk kakitangan pejabat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Merbau Pulas mendoakan agar roh Allahyarham Muhammad Haziq Danish dicucuri rahmat dan ditempatkan kalangan orang beriman,” katanya.
Perkongsian itu diceritakan Nasrun ketika menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Danish di Jabatan Forensik Hospital Kulim bagi menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan, yang turut dihadiri wakil dari Pejabat ADUN Merbau Pulas.
Dalam kejadian yang berlaku pada petang Isnin, Muhammad Haziq Danish ditemukan lemas ketika mahu menyelamatkan rakannya yang hampir lemas ketika mereka mandi di Sungai Sedim.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, kejadian itu dimaklumkan orang awam menerusi panggilan pada 4.34 petang memaklumkan terdapat mangsa lemas di lokasi tersebut.
Difahamkan mangsa bersama lima rakannya ke kawasan Sungai Sedim itu untuk bermandi-manda.
"Ketika sedang mandi, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan salah seorang rakannya yang hampir lemas. Namun rakan mangsa berjaya memegang dahan pokok berhampiran sementara mangsa hanyut dibawa arus deras.
"Rakan-rakan mangsa turut meminta tolong daripada penduduk kampung untuk menyelamatkan rakan mereka, sebelum mangsa ditemui tersangkut pada tunggul kayu kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, " katanya.

Tiada ulasan