SEBAK SEORANG IBU, IRINGI JENAZAH DUA ANAK DAN SUAMI
Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan tragis membabitkan dua kenderaan di Jalan Kulim-Mahang, selamat dikebumikan dalam satu suasana pilu di Tanah Perkuburan Islam Taman Mutiara, Sungai Kob.
Solat jenazah Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, bersama dua cahaya matanya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2 dihadiri kira-kira 700 jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai, serta penduduk setempat di Masjid Al Fateh.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir dan menzahirkan ucapan takziah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato' Ustazah Siti Ashah Haji Ghazali.
Beliau yang hadir di Masjid Al Fateh sempat menyantuni dan menziarahi isteri kepada Allahyarham Muhammad Syazwan untuk memberi sokongan moral dan kata-kata semangat atas ujian berat yang menimpa keluarga berkenaan.
Dalam pertemuan ringkas tersebut, Ustazah Siti Ashah menyatakan rasa dukacita yang mendalam dan mendoakan agar seluruh ahli keluarga tabah menghadapi kehilangan tiga insan tersayang secara serentak.
Tragedi yang berlaku itu telah mendapat perhatian meluas penduduk di daerah Kulim, yang rata-ratanya hiba dengan pemergian mengejut bapa dan dua anak kecil tersebut.
Post a Comment