Header Ads

test

KERAJAAN NEGERI PERKUKUH PEMBANGUNAN LUAR BANDAR, FOKUS SEJAHTERA KOMUNITI PEDALAMAN


Ku Azizah Ku Hamid
BALING – Kerajaan Negeri Kedah komited untuk terus memperkukuh pembangunan luar bandar secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada kesejahteraan komuniti pedalaman merangkumi aspek kemudahan asas, pembangunan insan, kesihatan, pendidikan serta pengukuhan jaringan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pendekatan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah bersifat inklusif dan berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman terus terpelihara.
“Usaha pembangunan luar bandar akan terus dipergiat, bukan sahaja melalui peningkatan kemudahan asas, tetapi juga merangkumi pembangunan insan, pendidikan, latihan kemahiran serta pengukuhan jaringan sosial dalam komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Hari Komuniti Kampungku Sejahtera Dun Baling, di sini.
Menurut Siti Ashah, Daerah Baling mempunyai kedudukan istimewa dalam lipatan sejarah negara apabila menjadi saksi kepada Rundingan Baling 1955 yang melambangkan kebijaksanaan kepimpinan dan usaha mencapai keamanan.
“Peristiwa bersejarah ini menjadikan Baling bukan sekadar sebuah daerah pedalaman, sebaliknya simbol perjuangan, kebijaksanaan dan komitmen kepimpinan negara dalam membina masa depan yang aman dan stabil,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerajaan negeri Kedah yakin usaha bersepadu itu akan terus memperkukuh pembangunan luar bandar secara mampan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menyumbang kepada kemakmuran negeri secara keseluruhan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan masa kini perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata.
“Pembangunan luar bandar hari ini perlu merangkumi aspek kesihatan, kebersihan, perpaduan, pembangunan insan serta usaha melahirkan bakat dalam kalangan masyarakat bagi membentuk komuniti yang berdaya tahan dan berdaya saing,” ujarnya.

Tiada ulasan