Header Ads

test

“BANYAK PENCAPAIAN KEDAH TIDAK DILAPORKAN, RUJUK MEDIA KERAJAAN NEGERI” - SANUSI

 

Roslinda Hashim

KAHERAH - Kerajaan Negeri Kedah memanfaatkan media sosial dan platform alternatif bagi menyebarkan pencapaian sebenar negeri itu susulan kekurangan liputan positif oleh media arus perdana.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, banyak kejayaan Kedah tidak dilaporkan secara adil, menyebabkan kerajaan negeri mengambil inisiatif membangunkan saluran media sendiri termasuk di peringkat wakil rakyat.
“Sekarang ini semua wakil rakyat ada pegawai dan pasukan media sendiri. Dulu kalau buat program, susah nak dapat liputan. Hari ini, bila kita ada media sendiri, satu senjata besar (media) untuk menenggelamkan kerajaan negeri sudah tidak berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutup program ‘Dari Dewan Ke Mahasiswa: Ke Mana Hala Tuju Suara Anak Muda?’ di Solitaire Hall, At The Railway Club, Nadi Sikkah, di sini.
Menurut Sanusi, peranan media sosial kini jauh lebih dominan berbanding media arus perdana yang didakwa hanya menyiarkan berita negatif berkaitan negeri-negeri ditadbir PAS seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Kalau ada kejayaan tentang kita, tak ada liputan luar. Yang keluar cuma berita negatif, sebab itu kita terpaksa bergantung kepada media alternatif dan media sosial,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan teknologi dan pengukuhan jentera penerangan negeri seperti Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) di Kedah, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Terengganu serta Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan memainkan peranan besar dalam menyebarkan maklumat pencapaian kerajaan negeri.
“Kalau tak cari berita baik di media sosial ini, memang tak jumpa. Menerusi paltform inilah pencapaian kita disebarkan, jadi rakyat perlu rujuk media sosial ini untuk dapatkan maklumat sebenar,” katanya.
Sanusi jelaskan, prestasi ekonomi negeri yang memberangsangkan juga tidak diuar-uarkan di media arus perdana, sedangkan Kedah merekodkan pencapaian cemerlang.
“Kedah menerima pelaburan asing berjumlah RM178 bilion dalam tempoh lima tahun terakhir, dari 2020 hingga 2025, berbanding hanya RM50 bilion sepanjang 30 tahun sebelumnya.
“Tahun 2022 sahaja, Kedah terima pelaburan RM68 bilion. Berita-berita macam ini tak masuk media. Bila keluar pun, dikatakan usaha kerajaan Persekutuan, sebab mereka kata kita parti pak lebai, tak pandai perintah, orang (pelabur) tak mari,” katanya.
Beliau jelaskan, agensi negeri seperti Invest Kedah dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) memainkan peranan penting mengurus dan menarik pelabur dari dalam serta luar negara.
“Tapi mereka (Persekutuan) kata mereka yang bawa (pelaburan), kita pun senyap saja. Malas nak lawan, janji ada pelabur datang, sudah lah. Tak usah bertengkar siapa bawa mari,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, kejayaan negeri diterajui PAS menjadikan parti itu sering diserang atas faktor cemburu terhadap sokongan rakyat yang semakin meningkat.
“Di Malaysia, parti paling banyak diserang ialah PAS. Sebab apa, dengki yang meluak-luak oleh pihak lain terhadap PAS. (Parti) lain orang tak mahu dah sekarang, PAS ja orang mahu,” katanya.
Sanusi berkata, walaupun kerajaan negeri diterajui PAS di Kedah, Kelantan,Terengganu dan Perlis ditekan hebat, tekanan itu membentuk kekuatan gabungan negeri-negeri SG4.
“Seboleh-bolehnya ada pihak mahu tekan kita sehabis-habisnya supaya kita tidak dapat berjalan dengan baik. Di bawah tekanan itu lah, kita bangkit sebagai SG4. Insya-ALLAH SG4 akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Budaya di sini begitulah, siapa lebih sikit akan ditekan supaya rakyat tak nampak. Mereka hanya nak bagi nampak apa yang berlaku di Kuala Lumpur, di Putrajaya,” katanya.

Tiada ulasan