Header Ads

test

SUARA MAHASISWA PERLU BERPAKSIKAN KEBENARAN, BUKAN PERSEPSI, NARATIF ATAU OPTIK - SANUSI


Roslinda Hashim

KAHERAH - Mahasiswa digesa supaya berani menyuarakan kebenaran serta menolak budaya berasaskan persepsi, naratif dan optik yang disifatkan sebagai palsu.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, anak-anak muda yang sedang menimba ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu membina kefahaman politik yang betul berasaskan fakta dan ilmu, bukan terpengaruh dengan pesona individu atau propaganda semata-mata.
“Suara mahasiswa mesti menuju kepada kebenaran. Jangan terpesona dengan pesona orang, tetapi pesonalah dengan ilmu dan kebenaran. Mahasiswa yang sedang membina identiti juga perlu bina kefahaman yang betul mengenai politik.
“Jika tidak, masa depan anda mahupun negara akan menjadi lebih mencabar dan sukar dibetulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutup program ‘Dari Dewan Ke Mahasiswa: Ke Mana Hala Tuju Suara Anak Muda?’ di Solitaire Hall, At The Railway Club, Nadi Sikkah, di sini.
Menurut Sanusi, mahasiswa sama ada di dalam mahupun luar negara tidak seharusnya gentar untuk bersuara dan menegakkan kebenaran, khususnya dalam era media sosial yang menyediakan pelbagai platform untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Benar mesti ditonjolkan, salah mesti dibenam. Media sosial kita besar, pengikut ramai. Mahasiswa perlu bantu sebarkan kebenaran dan jangan takut kepada sesiapa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan mahasiswa agar memahami istilah-istilah baharu yang digunakan agar tidak salah tafsir.
“Tiga istilah yang semakin digunakan, persepsi, naratif dan optik. Namun gunakan kefahaman yang betul agar tidak mudah terpedaya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sanusi tegaskan, politik tidak boleh disamakan dengan persepsi kerana persepsi hanyalah sudut pandang, manakala politik seharusnya berdiri atas fakta yang benar.
“Apabila politik ditakrifkan sebagai persepsi, itu adalah politik palsu. Politik bukan persepsi dan persepsi bukan politik. Kebenaran tidak bergantung kepada sudut pandang, tetapi kepada fakta dan ilmu,” katanya.
Beliau turut mengkritik pendekatan politik persepsi yang mula dipopularkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, melalui pelbagai janji dan kenyataan bagi membentuk kepercayaan rakyat walaupun tanpa sandaran fakta.
“Sebagai contoh, janji PM turunkan harga minyak dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan, pernah dilaungkan puluhan tahun, namun terbukti tidak berlaku selepas Anwar memegang jawatan Perdana Menteri.
“Dibina norma baharu dalam politik, yang orang nampak itulah kebenaran, maka jadilah politik persepsi. Sebenarnya apa yang dilontarkan tak semestinya benar. Bertahun-tahun rakyat percaya, akhirnya terbukti tidak benar,” katanya.
Tambah Sanusi, strategi pendekatan politik persepsi dengan melontarkan apa sahaja agar rakyat mempercayainya, adalah norma salah dan menjadi pegangan sebahagian besar rakyat Malaysia.
“Suara mahasiswa perlu menentang perkara salah, sebarkan perkara betul, bersandar kepada fakta dan ilmu. Jangan terperangkap dengan politik adalah persepsi,” ujarnya.
Selain persepsi, Sanusi jelaskan, istilah naratif dan optik turut digunakan dalam politik moden bagi membina gambaran palsu terhadap seseorang pemimpin atau keadaan sebenar.
“Naratif ialah jalan cerita untuk buat orang percaya, bukan semestinya benar tetapi disusun untuk pamer kebaikan seseorang. Hakikat sebenarnya tidak begitu, semua palsu.
“Optik pula apa yang dipamerkan supaya orang nampak yang baik-baik, yang buruk disembunyikan.
"Contoh, bila cakap, suka marah-marah, jarang tengok seorang pemimpin mula bercakap dengan marah orang. PM macam itulah, bila ditanya isu tanah Indonesia, marah-marah, tapi orang tak nampak sebab optik, persepsi dan naratif,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, fahaman politik sedemikian telah memisahkan politik daripada nilai agama dan menjadikannya alat untuk mencari kuasa serta kepentingan peribadi.
“Politik dalam Islam adalah alat untuk menjaga agama, bangsa dan tanah air. Tetapi apabila siasah diselewengkan, ia menjadi alat cari makan, bukan lagi untuk mengangkat martabat ummah.
“Politik sebahagian daripada Islam, namun yang menjadi amalan mutakhir ini politik yang terpisah daripada agama, disekularkan,” katanya.
Sehubungan itu, Sanusi tegaskan, peranan besar mahasiswa sebagai golongan berilmu adalah untuk membetulkan kefahaman politik masyarakat dan menolak politik berasaskan tipu helah.
“Mahasiswa perlu menyampaikan perkara benar, pastikan politik kembali berpaksikan fakta, ilmu serta nilai agama,” katanya.

Tiada ulasan