Header Ads

test

WANITA PERLU HIDUPKAN CINTA RASUL DALAM KELUARGA DAN MASYARAKAT

 

Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR – Wanita diseru menghidupkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian dengan mencontohi akhlak Baginda, kerana wanita merupakan tunjang kekuatan keluarga yang menjadi asas pembentukan masyarakat dan ummah yang sejahtera.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Kedah, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, penghayatan selawat dan sunnah Rasulullah SAW mampu membentuk peribadi muslimah yang lembut jiwanya, kukuh imannya serta berperanan besar dalam mendidik generasi.
“Wanita adalah tiang keluarga. Jika wanita baik, maka baiklah generasi, jika wanita kuat imannya, maka kuatlah ummah.
“Cinta kepada Rasulullah SAW mesti hidup dalam rutin harian kita iaitu dengan menjaga tutur kata, memelihara adab, mendidik dengan kasih sayang serta menjaga solat dan aurat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Himpunan Wanita Kedah Berselawat Siri 1 bertempat di Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang, di sini, hari ini.
Menurutnya, majlis itu menghimpunkan pelbagai agensi, pertubuhan wanita serta masyarakat setempat, selain menampilkan Ustazah Siti Hajar sebagai khalifah selawat dengan penglibatan aktif sukarelawan dalam menjayakan program berunsur kerohanian tersebut.
Halimaton berkata, amalan berselawat juga menjadi medan penyucian hati dan pengukuhan rohani dalam menghadapi cabaran kehidupan.
“Sejarah Islam telah membuktikan peranan besar wanita dalam perjuangan agama melalui contoh tokoh seperti Saidatina Khadijah RA, Saidatina Aisyah RA dan Saidatina Fatimah RA.
“Wanita hari ini mampu menjadi ibu yang mendidik dengan cinta Rasul dan isteri yang membawa sakinah dalam rumah tangga, selaras dengan acuan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.

Tiada ulasan