KEDAH UTAMAKAN KEBAJIKAN MAHASISWA, ASRAMA DI MESIR SELESAI NAIK TARAF
Roslinda Hashim
KAHERAH - Pelajar Kedah di Mesir perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan asrama yang disediakan kerajaan negeri sebagai ruang membina disiplin, jati diri dan kecemerlangan ilmu.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebajikan anak-anak Kedah di perantauan khususnya yang sedang menimba ilmu wajar diberikan keutamaan, seiring amanah besar untuk mereka kembali berbakti kepada agama, masyarakat dan negara.
Menurut beliau, kemudahan Asrama Darul Aman 3 yang dinaik taraf bukan sekadar tempat penginapan, sebaliknya merupakan pelaburan negeri terhadap masa depan anak-anak Kedah yang menuntut ilmu di luar negara.
“Belajarlah bersungguh-sungguh, jaga akhlak dan nama baik negeri Kedah. Kemudahan ini adalah amanah yang perlu dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau menitipkan pesanan itu selepas merasmikan majlis penyerahan Asrama Darul Aman 3, di sini yang turut dihadiri delegasi kerajaan negeri.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari; Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Saifulrijal Azhari serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Zakaria Othman.
Sanusi memaklumkan, asrama berkenaan dinaik taraf secara menyeluruh dengan kos sebanyak RM7.6 juta dan mengambil masa selama setahun.
“Ia melibatkan pembaikan keseluruhan bangunan termasuk penyediaan kemudahan, fasiliti serta perabot baharu, selain penambahbaikan susun atur dalaman bagi mewujudkan persekitaran inap yang lebih kondusif dan selesa,” katanya.
Menurutnya lagi, penambahbaikan asrama 12 tingkat itu membolehkan 132 orang pelajar yang ditempatkan di situ lebih selesa, sekali gus menyokong usaha pembinaan jati diri, kesejahteraan serta kecemerlangan akademik.
“Semoga dengan usaha dan kebajikan dari Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama LZNK itu dapat menyediakan fasiliti yang kondusif dan lengkap kepada pelajar, agar mereka dapat fokus belajar dan tingkatkan kecemerlangan, dalam suasana inap yang selesa,” katanya.
Asrama Darul Aman 3 mula dibeli pada tahun 2007 dan perolehannya dirasmikan pada 2008 oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ustaz Haji Azizan Abdul Razak, sebelum melalui fasa naik taraf bagi memenuhi keperluan semasa pelajar.

Post a Comment