TABUNG AMANAH SULTAN KEDAH BANTU RIBUAN PELAJAR, KELUARGA B40
Nur Akasyah Sabri
KUALA LUMPUR - Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) telah memberi manfaat kepada 2,224 pelajar serta 2,117 keluarga B40 di Kedah melalui pelbagai program pendidikan dan kebajikan sosial.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, sejak penubuhan TASK pada 2023 sehingga penghujung tahun 2025, sejumlah RM2.04 juta telah diagihkan secara terancang dan berhemah.
Baginda bertitah, bagi sektor pendidikan, TASK telah menyokong pelajar melalui program pembangunan diri, latihan kemahiran berasaskan TVET, penguasaan Bahasa Inggeris, program jaminan penempatan kerja, program murid pendidikan khas serta Program Sarapan Pagi.
“Menurut data Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, 74 peratus murid berkeperluan pendidikan khas di Kedah telah berjaya menyambung pelajaran atau memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan persekolahan,” titah baginda.
Tengku Sarafudin Badlishah bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli merasmikan Majlis Pelancaran TASK di sini, hari ini.
Turut berangkat mencemar duli, Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Puan Mahkota Kedah, Tunku Che Puan Nur Julie Ariff.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri, Tok Puan Hajjah Jusmalailani Jusoh.
Raja Muda Kedah bertitah, menerusi teras kebajikan sosial, keluarga B40 menerima pelbagai bantuan antaranya bakul makanan asas, sumbangan tunai, bantuan kembali ke sekolah, bantuan Ramadan, baik pulih rumah, serta sokongan kepada mangsa bencana.
“Dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan, seramai 2,693 rakyat mendapat akses kepada air bersih, bantuan susu tepung dan multivitamin khususnya untuk ibu hamil berisiko serta kanak-kanak B40 yang memerlukan.
“Langkah ini selaras dengan usaha meningkatkan akses penjagaan kesihatan asas bagi kumpulan berpendapatan rendah.
“TASK juga menitikberatkan perlindungan haiwan, 114 haiwan menerima manfaat melalui program pemandulan anjing liar, penyelenggaraan pusat perlindungan serta penyediaan makanan kepada haiwan terbiar.
“Ini selaras dengan usaha pemuliharaan, kesejahteraan haiwan dan nilai kemanusiaan yang tinggi,” titah baginda lagi.
Tengku Sarafudin Badlishah tegaskan, penubuhan TASK merupakan langkah strategik dalam memperluaskan manfaat serta memaksimumkan impak bantuan melalui enam teras utama, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkukuhkan.
“TASK bergerak melalui enam teras strategik, iaitu Pendidikan, Kebajikan Sosial, Kesihatan dan Kesejahteraan, Pemuliharaan Alam Sekitar, Perlindungan Haiwan serta Sukan, bagi memastikan impak sosial yang lebih luas dan terancang, selaras dengan aspirasi membentuk masyarakat yang makmur, harmoni serta berdaya saing,” titah baginda.
Baginda bertitah, penubuhan TASK bermula dengan Perjanjian Amanah ditandatangani pada 20 Oktober 2022, dan memulakan operasi pada penghujung 2023.
“Pendaftaran rasmi dilaksanakan pada pertengahan 2024, kemudiannya diperbadanankan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri pada 15 Januari 2025.
“TASK mendapat kelulusan pengecualian cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, membolehkan sumbangan layak mendapat pengecualian cukai untuk tahun taksiran 2025 dan 2026.
“Setiap sumbangan diterima melalui TASK dirancang untuk memberi impak signifikan kepada kesejahteraan rakyat dan komuniti di Kedah,” titah baginda.
Pada sidang akhbar selepas itu, Raja Muda Kedah yang juga Presiden TASK mempelawa syarikat korporat agar tampil menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan.
“TASK sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan bagi memperluaskan manfaat kepada golongan memerlukan,” titah baginda.
Tengku Sarafudin Badlishah turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang yang menyumbang lebih RM4 juta sempena pelancaran TASK, hari ini.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#titahdiraja

Post a Comment