‘KEDAH YOUNG PROFESSIONAL’ PERKUKUH MODAL INSAN, SOKONG KEPERLUAN INDUSTRI - SANUSI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah melancarkan Program ‘Kedah Young Professional’ sebagai inisiatif strategik memperkukuhkan pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi selain menarik pelaburan berkualiti ke negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada ekonomi yang mampu berkembang sekiranya hanya bergantung kepada modal dan infrastruktur semata-mata, sebaliknya memerlukan insan yang memiliki bakat, kreativiti, disiplin serta hala tuju yang jelas.
Menurut beliau, program berkenaan merupakan inisiatif penting dalam mewujudkan ekosistem yang menggalakkan pelaburan lebih besar, lebih moden dan lebih maju ke Kedah, sejajar dengan persediaan memenuhi keperluan modal insan sektor industri.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kedah melancarkan ‘Kedah Young Professional’ untuk mempersiapkan golongan belia menghadapi industri masa hadapan. Usaha ini meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama strategi kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program ‘Kedah Young Professional’ sempena Majlis Apresiasi Industri Negeri Kedah 2026 bagi meraikan pelabur serta rakan strategik yang memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan.
Sanusi berkata, inisiatif itu juga bertujuan memupuk inovasi, kepimpinan serta kecemerlangan teknikal, sekali gus memastikan kejayaan Kedah disokong oleh rantaian bakat tempatan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
“Saya harap penyumbang yang menjayakan ‘Kedah Young Professional’ akan menuai hasilnya dalam masa terdekat, dengan kerjasama erat para pelabur,” ujarnya.
Tambah beliau, program berkenaan akan digerakkan oleh Profesor Dr Haim Hilman Abdullah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Inovasi dan Teknologi.
“Inisiatif ini diyakini mampu melahirkan tenaga muda bertenaga yang akan menjadi pemacu baharu pembangunan industri negeri, selain meneruskan peranan tradisi Kedah sebagai jelapang padi negara.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pelabur yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negeri, malah kepada negara. Usaha semua pihak yang digembleng oleh agensi negeri dan Persekutuan ini bukan sahaja untuk Kedah, tetapi Malaysia yang kita cintai. Semoga diberi keberkatan ALLAH SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan tadbir urus, melabur dalam pembangunan infrastruktur, menyokong inovasi serta akan memastikan pembangunan memberi manfaat menyeluruh termasuk kawasan bandar, industri, komuniti luar bandar serta generasi akan datang.
“Semua agensi Kerajaan Negeri termasuk Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan berkaitan akan membuka ruang seluas-luasnya untuk memudahkan urusan pelabur yang ingin melabur di Kedah.
“Kami menetapkan visi jangka panjang 2050 untuk memastikan Kedah muncul sebagai negeri paling maju dan berjaya dalam sektor ekonomi serta pendidikan,” katanya.
Mengulas kelebihan strategik negeri ini, Sanusi jelaskan, kedudukan Kedah di tengah-tengah Asia Tenggara dengan akses melalui laut Selat Melaka, selain pintu masuk sempadan darat dengan Thailand serta kemudahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) pada masa akan datang, diyakini menjadi pemangkin kepada infrastruktur industri dan pengangkutan moden.
“Semua orang memandang kita, adakah Kedah akan dipacu ke belakang atau asyik bermain politik atau adakah negeri ini sedang dipimpin orang-orang yang mahu bergerak ke depan.
“Saya ingin tegaskan Kerajaan Negeri tidak akan beri ruang kepada kepentingan politik sempit pihak tertentu yang boleh menghalang kemajuan negeri ini.
“Saya berjanji semua ruang akan digunakan sepenuhnya untuk kemajuan Kedah. Marilah kita sama-sama menjayakan usaha ini, jangan ada halangan-halangan yang menyukarkan sebaliknya sambut semua pelabur dan pastikan Kedah terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau percaya inisiatif yang disediakan oleh negeri ini bakal menarik kehadiran lebih ramai pelabur, selari dengan slogan, ‘Kedah negeri orang miskin berteduh, negeri tempat orang kaya berbakti’.

Post a Comment