Header Ads

test

SADA KAWAL NRW GUNA PERALATAN KHAS, ELAK PEMBAZIRAN AIR TERAWAT

 

Roslinda Hashim
LANGKAWI - Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) melaksanakan aktiviti ‘Active Leakage Control’ (ALC) bagi mengesan kebocoran paip air di sekitar Langkawi, sebagai usaha berterusan mengurangkan pembaziran air terawat dan kehilangan Air Tidak Terhasil (NRW).
Menurut kenyataan dikeluarkan SADA, peralatan khas dikenali sebagai Echologics, Vonroll dan Fido digunakan bagi mengesan bunyi kebocoran air dalam paip bawah tanah tanpa memerlukan kerja penggalian.
Peralatan berteknologi tinggi itu membolehkan kebocoran dikenal pasti dengan lebih tepat dan pantas.
“Pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan keberkesanan kerja pembaikan, malah membantu mengurangkan pembaziran air terawat serta mempertingkatkan kecekapan sistem agihan bekalan air kepada pengguna,” kata kenyataan itu menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Aktiviti turun padang itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Radzuan Osman dan Pengurus Besar Teknikal dan Operasi SADA, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi serta semua Ketua Jabatan dan Wilayah.
Dalam sesi berkenaan, pasukan daripada Jabatan Agihan/NRW SADA memberi penerangan menyeluruh mengenai kaedah pengesanan kebocoran menggunakan alat Echologics, Vonroll dan Fido.
Penglibatan pihak pengurusan tertinggi dalam aktiviti di lapangan mencerminkan komitmen SADA untuk memahami cabaran operasi sebenar selain memastikan inisiatif mengurangkan NRW dilaksanakan secara berterusan demi manfaat jangka panjang pengguna di Langkawi.

Tiada ulasan