Header Ads

test

KEPUTUSAN STAM MAKTAB MAHMUD ALOR SETAR CEMERLANG: 98.3 PERATUS CALON LULUS

 

Amal Nabila
ALOR SETAR - Maktab Mahmud Alor Setar mencatatkan peningkatan memberangsangkan apabila 98.3 peratus calon lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025, lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Pengetua Maktab Mahmud Alor Setar, Ustaz Mohd Shauki Bik Mohd Kassim berkata, seramai 115 calon menduduki peperiksaan berkenaan dengan Purata Gred Sekolah (GPS) turut meningkat kepada 2.35 berbanding 2.54 pada tahun 2024.
“Daripada jumlah itu, 20 calon memperoleh Mumtaz, 44 Jayyid Jiddan, 42 Jayyid dan tujuh Maqbul,” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2025, di sini, hari ini.
Salah seorang calon cemerlang Mumtaz Sofi, Wan Nur Tayyibah Wan Mohd Junid, 19, menyifatkan kejayaan diraih hasil usaha berterusan serta penekanan terhadap hubungan dengan ALLAH SWT dan sesama manusia.
“Saya tidak pernah meninggalkan solat dhuha dan sentiasa mencari ruang menunaikan solat walaupun ketika waktu rehat. Selain itu, saya juga mengamalkan pembelajaran secara berkumpulan bersama rakan-rakan,” kata bekas pelajar Maktab Mahmud Yan itu.
Wan Nur Tayyibah kini mengikuti pengajian di Markaz Lughah sebagai persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke Mesir pada Ogos ini.
Bapanya, Wan Mohd Junid Wan Ismail, 56, seorang guru di Sekolah Menengah Agama Nahdzah berkata, kejayaan anaknya itu adalah hasil usaha gigih selain kefahaman terhadap pelajaran, ulang kaji berterusan serta doa.
“Usaha bersungguh-sungguh, memahami pelajaran dan banyak mengulang kaji merupakan kunci utama kejayaan,” katanya.
Ibunya, Siti Zaiton Mat Desa, 50, guru di SMK Guar Chempedak pula berkata, peranan ibu bapa juga penting dalam mendoakan anak mereka, mendengar masalah dan memberikan sokongan tanpa henti.
“Sikap tidak kedekut berkongsi ilmu, pengurusan masa yang baik serta kesediaan membantu rakan turut menyumbang kepada kejayaan anak saya,” katanya.
Sementara, seorang lagi calon Mumtaz Sofi, Putera Haziq Akmal Mohd Shahrul Akmal, 19, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Darul Saadah, turut mencatatkan kejayaan cemerlang dalam STAM 2025.
Putera Haziq yang merupakan anak keempat daripada lima beradik berhasrat melanjutkan pengajian ke Mesir dalam bidang fekah dan bercita-cita menjadi seorang ustaz.
“Cabaran utama sepanjang pengajian STAM adalah penguasaan bahasa Arab, namun ia dapat diatasi dengan kerap mendapatkan bimbingan guru serta pengurusan masa yang teratur.
“Saya membahagikan masa dengan baik, waktu belajar kita perlu bersungguh-sungguh dan waktu rehat juga dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Ibunya, Norain Hussein, 54, berkata, kejayaan anaknya itu adalah hasil didikan berterusan serta sokongan terhadap minat dan hala tuju pendidikan yang dipilih.
“Saya tegas dalam mendidik anak-anak, namun sentiasa prihatin dan memberi sokongan penuh terhadap haluan pendidikan yang dipilih Haziq,” katanya.

Tiada ulasan