TARIKAN TERBAHARU KEDAH, PRODUK PELANCONGAN MONG GAJAH DIJANGKA SIAP JULAI
Ku Azizah Ku Hamid
PEDU - Projek pembangunan kawasan pelancongan Mong Gajah di daerah Padang Terap kini mencatat kemajuan sebanyak 42 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.
Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad berkata, pelaksanaan projek dengan kos keseluruhan RM7 juta itu mengalami sedikit kelewatan akibat beberapa isu teknikal yang tidak dapat dielakkan sepanjang tempoh pembinaan.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan semasa menunjukkan projek itu berada di landasan yang betul apabila pihak pelaksana memberi jaminan ia mampu disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Walaupun terdapat cabaran teknikal, kemajuan terkini amat memberangsangkan dan kami yakin projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria ke tapak projek berkenaan, hari ini.
Lawatan tersebut turut disertai wakil Unit Infrastruktur Bandar (UIB), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Padang Terap, Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) serta kontraktor pelaksana.
Menurut Sharifah Norulasyikhah, projek Mong Gajah dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat serta bakal muncul sebagai antara tarikan pelancongan baharu yang mampu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi daerah Padang Terap.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas peruntukan RM7 juta yang disalurkan bagi menjayakan projek tersebut.
“Penghargaan juga dizahirkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin, atas komitmen dan perhatian berterusan dalam memastikan projek ini dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat Padang Terap serta pelancong dari dalam dan luar negeri Kedah,” katanya.

Post a Comment