LOT DESA SEJAHTERA PADANG TERAP BANTU 100 PENERIMA B40 MILIKI RUMAH
Ku Azizah Ku Hamid
KUALA NERANG - Projek Lot Desa Sejahtera di daerah Padang Terap menawarkan 100 lot tanah bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, inisiatif berimpak tinggi Kerajaan Negeri Kedah ini memperuntukkan 52 lot dilaksanakan dalam fasa pertama bagi membasmi kemiskinan perumahan.
Menurut beliau, penyediaan tanah dan pembinaan rumah di atas tanah kerajaan itu antara usaha memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati tempat tinggal yang selesa dan selamat.
“Inisiatif ini membolehkan golongan B40 miliki tanah dan rumah dengan bayaran serendah RM1,000 secara keseluruhan.
“Penerima akan memperoleh lot tanah berkeluasan kira-kira 3,000 hingga 4,000 kaki persegi, lengkap dengan pembinaan rumah serta kemudahan asas yang mencukupi,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Lot Desa Sejahtera di Kampung Perik, di sini, hari ini.
Siti Ashah berkata, pembinaan rumah tersebut turut dilaksanakan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan enam buah rumah dijangka mula dibina dalam masa terdekat bagi membantu keluarga B40 yang layak.
“Ini merupakan usaha bersama antara Kerajaan Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan bagi memastikan golongan memerlukan tidak terus tercicir daripada memiliki kediaman yang selesa dan selamat,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan projek berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi penyediaan infrastruktur asas, selain Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi memastikan bekalan air dapat disediakan dengan lancar.
“Kerjasama erat semua pihak amat penting bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya lagi.
Siti Ashah memaklumkan, projek Lot Desa Sejahtera merupakan antara agenda berterusan Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam usaha membasmi kemiskinan, khususnya melibatkan rakyat yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap.
“Projek ini juga akan diperluaskan ke daerah-daerah lain pada masa akan datang supaya lebih ramai keluarga B40 dapat dibantu dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.

Post a Comment