KEDAH ANGKAT SEJARAH PERANAN ULAMA, TERAS KEKUATAN UMAT
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menzahirkan komitmen berterusan dalam mengangkat semula sejarah negeri, khususnya memperingati jasa serta sumbangan besar ulama Kedah yang menjadi tonggak pembinaan masyarakat dan pemerkasaan agama sejak sekian lama.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, kesedaran masyarakat terhadap perjuangan ulama terdahulu perlu terus diperkasakan, memandangkan golongan itu memainkan peranan penting dalam menuntut kemerdekaan, mempertahankan akidah umat serta melaksanakan tuntutan perintah ALLAH SWT.
Menurut beliau, kerajaan negeri secara konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif berunsur pameran dan pengisian sejarah, termasuk penganjuran sebuah seminar khas berkaitan sejarah Kedah yang dijadualkan berlangsung pada April depan.
“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita sentiasa berusaha mengadakan program berbentuk pameran dan pengisian ilmu bagi memperkenalkan semula sejarah Kedah kepada masyarakat.
“Pada April depan akan diadakan satu seminar khusus berkaitan Kedah dan sejarahnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Reka Bentuk Pondok Moden Peringkat Negeri Kedah, di Muzium Negeri Kedah.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, peranan besar ulama Kedah sejak era awal perkembangan negeri menjadi antara teras kepada kekuatan umat dan pembentukan jati diri masyarakat.
“Kita perlu memahami jati diri serta mengenali kesungguhan generasi terdahulu, termasuk bagaimana mereka memajukan negeri ini berteraskan ilmu, kebijaksanaan dan kepakaran yang ada.
“Apabila kita menelusuri sejarah ini, insya-ALLAH ia mampu menjadi pemangkin untuk kita terus maju pada masa hadapan,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha mengangkat sejarah tersebut dizahirkan melalui pengimarahan pameran institusi ulama dan pondok yang bukan sekadar memaparkan sejarah semata-mata, malah mencerminkan perjuangan besar ulama dalam tempoh menuju kemerdekaan negara.
Mohd Azam tegaskan, penghayatan terhadap peranan institusi pondok dan ulama, khususnya di Kedah dan Nusantara, secara tidak langsung mampu menyemai rasa bangga terhadap jati diri bangsa dalam mempertahankan akidah umat.
“Inilah hasrat yang telah dizahirkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dan turut ditekankan oleh Menteri Besar Kedah.
“Konsep The Greater Kedah bertujuan menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri unggul, berlandaskan hakikat bahawa negeri ini pernah mencapai kemajuan tinggi suatu ketika dahulu, termasuk dalam aspek teknologi.
“Berpandukan sejarah inilah, ia menjadi pedoman kepada kita untuk terus melangkah dan membina Kedah yang lebih hebat pada masa akan datang,” katanya.

Post a Comment