SANUSI INGATKAN RISIKO PILIHAN RAYA PBT, AMBIL IKTIBAR SEJARAH LALU
Roslinda Hashim
KAHERAH - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran bahawa usaha menghidupkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) berpotensi mencetuskan ketidakseimbangan kuasa dan membawa risiko besar kepada kestabilan negara jika tidak diawasi dengan teliti.
Beliau berkata, tindakan itu ibarat mengamalkan siasah politik ‘cari makan’ untuk kepentingan pihak-pihak tertentu dan ia perlu diperhalusi sebelum membuat keputusan besar dalam kerajaan.
Menurutnya, cadangan tersebut merupakan cita-cita lama DAP dan kini dibangkitkan semula selepas pemimpin parti itu memegang portfolio berkenaan di peringkat Persekutuan, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Menteri Wilayah Persekutuan.
“Pemimpin yang ada di Putrajaya hari ini mungkin beramal dengan siasah politik ‘cari makan’. Mereka dapat kuasa yang mereka mahukan, tetapi ada satu kelompok dalam gerombolan itu, dipimpin oleh DAP, mendapat apa yang mereka kehendaki tanpa perlu bersuara, kerana parti-parti lain menjadi jenteranya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutup program ‘Dari Dewan Ke Mahasiswa: Ke Mana Hala Tuju Suara Anak Muda?’ di Solitaire Hall, At The Railway Club, Nadi Sikkah, di sini.
Sanusi turut mengingatkan agar sejarah negara dijadikan iktibar, khususnya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang antara lain berpunca daripada pilihan raya kerajaan tempatan yang diamalkan ketika itu.
“Sebahagian besar sebab tercetusnya 13 Mei ialah pilihan raya kerajaan tempatan. Itu bahaya, tetapi hari ini ada pihak yang mahu buat semula,” katanya.
Menurut beliau, dalam sistem pilihan raya PBT, hanya penduduk yang tinggal dalam kawasan pentadbiran sesuatu pihak berkuasa tempatan layak mengundi, sekali gus berpotensi menyebabkan sesuatu kaum mendominasi pemilihan ahli majlis dan dasar yang digubal.
“Di Kuala Lumpur, siapa yang tinggal di bawah pentadbiran DBKL? Berapa peratus Cina, India dan Melayu? Orang Melayu yang tinggal di luar Kuala Lumpur tidak boleh mengundi. Akhirnya satu kaum yang menjadi majoriti akan menentukan ahli-ahli majlis dan dasar PBT.
“Kalau berlaku pilihan raya PBT, orang dalam kawasan PBT itu sahaja boleh mengundi, maka kaum tertentu sahaja akan jadi Ahli Majlis, memelihara kepentingan mereka atau apa sahaja agenda, sebab itu bahaya,” jelasnya.
Katanya, situasi sama boleh berlaku di bandar-bandar utama lain seperti Ipoh, George Town dan Alor Setar, sekali gus membuka ruang kepada dasar serta undang-undang kecil PBT yang berpihak kepada kelompok tertentu.
Sanusi jelaskan, selepas peristiwa 13 Mei, pilihan raya PBT telah ditiadakan dan ahli-ahli majlis dilantik oleh kerajaan negeri bagi memastikan keseimbangan kaum dan kepentingan awam terus terpelihara.
“Daripada 24 ahli majlis, sebahagian adalah ex officio seperti pegawai kerajaan dan ketua jabatan, manakala selebihnya dilantik daripada parti-parti yang membentuk kerajaan negeri. Sistem ini tidak memerlukan pilihan raya atau mengundi,” katanya.
Pada 1 Februari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan bahawa satu kajian sedang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak Disember lalu berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Cadangan itu bagaimanapun menerima bantahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyifatkannya sebagai kesinambungan agenda terdahulu termasuk cadangan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang mendapat tentangan.
Pandangan itu senada dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang menyifatkan agenda pilihan raya PBT sebagai satu langkah politik berisiko yang berpotensi merugikan rakyat.
Pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Post a Comment