Header Ads

test

PELABURAN RM1 BILION MENICON KUKUHKAN KHTP DI PETA GLOBAL


Nur Akasyah Sabri

KULIM - Kedah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi apabila berjaya menarik pelaburan strategik bernilai lebih RM1 bilion menerusi pembukaan rasmi Kilang Menicon Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Zhen berkata, kejayaan tersebut mencerminkan tahap keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap ekosistem perindustrian Kedah, sekali gus mengangkat KHTP sebagai hab pembuatan bernilai tinggi bertaraf global.

Menurutnya, pelaburan berskala besar itu bukan sahaja menjana limpahan ekonomi kepada negeri, malah membuka peluang pekerjaan berkualiti, mempercepat pemindahan teknologi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Pelaburan ini turut merangsang rantaian bekalan tempatan melibatkan sektor pembinaan, logistik, kejuruteraan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus memberi kesan ekonomi berganda kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Majlis Pembukaan Rasmi Kilang Menicon Malaysia Sdn Bhd di sini.

Chia Zhen jelaskan, fasiliti Menicon Malaysia merupakan kilang pembuatan terbesar Menicon di dunia, dibangunkan berasaskan teknologi automasi terkini, sistem digital bersepadu serta konsep kilang pintar yang memenuhi piawaian global industri peranti perubatan.

“Ia juga mendorong peningkatan kemahiran, pemindahan ilmu, dan kerjasama dengan universiti serta institusi teknikal, membantu memposisikan Kedah sebagai hab bagi bakat pembuatan berorientasikan masa depan dan bernilai tinggi,” katanya.

Tambah beliau, kilang ini mencerminkan komitmen Menicon dalam membangunkan bakat tempatan, memindahkan kepakaran pembuatan canggih serta menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dan mampan untuk rakyat Kedah.

“Kehadiran fasiliti ini turut meningkatkan sumbangan Kedah kepada eksport bernilai tinggi dan mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pangkalan pembuatan global yang dipercayai bagi peranti perubatan terkawal,” katanya.

Menurutnya lagi, 95 peratus pengeluaran Menicon Malaysia dieksport ke pasaran utama dunia termasuk Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat, sekali gus memperkukuh ekosistem industri peranti perubatan negara.

“Pelaburan berskala besar ini turut memberi kesan positif kepada pertumbuhan rantaian bekalan tempatan, memberi manfaat kepada firma pembinaan, penyedia logistik, perkhidmatan kejuruteraan, serta PKS tempatan, selain menghasilkan kesan positif terhadap perumahan, perkhidmatan, dan pembangunan komuniti,” katanya.

Beliau tegaskan, Kerajaan Negeri Kedah sentiasa menyokong kehadiran pelabur berkualiti melalui kerjasama erat dengan agensi Persekutuan dan negeri bagi memastikan persekitaran pelaburan yang kondusif, responsif dan mesra perniagaan terus diperkasakan.

“Pembukaan rasmi Menicon Malaysia ini diharap menjadi pemangkin kepada pertumbuhan berterusan, inovasi serta kemakmuran bersama, bukan sahaja untuk syarikat, tetapi juga untuk rakyat Kedah dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#thegreaterKedah

Tiada ulasan