Header Ads

test

300 RELUNG SAWAH PADI TERJEJAS, PESAWAH RUGI AKIBAT AIR BERTAKUNG

 

Amal Nabila

POKOK SENA – Lebih 300 relung sawah padi di sekitar Kampung Telaga Mas, di sini terjejas teruk akibat masalah air bertakung berlarutan walaupun ketika musim kemarau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood berkata, hasil tinjauan mendapati isu utama berpunca daripada perparitan sawah padi yang tidak diselenggara dengan baik, menyebabkan air gagal surut seperti yang sepatutnya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan punca pendapatan pesawah di kawasan terlibat terjejas. 

"Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan jadual penanaman padi, malah memberi kesan  kepada kelangsungan hidup pesawah yang bergantung sepenuhnya kepada hasil bendang.

“Masalah ini amat membimbangkan kerana walaupun pada musim kemarau, air masih bertakung dan menyukarkan pesawah untuk mengusahakan sawah mereka,” katanya ketika mengadakan tinjauan di Kampung Telaga Mas, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Ustaz Mohamad Azam Abd Aziz; Pegawai Khas Ahli Parlimen Pokok Sena, Abdul Samad Saad; Ketua Kampung Telaga Mas, Mohd Azhar Azizan, serta wakil Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Beliau berharap tinjauan yang dilakukan itu dapat membuka mata pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera bagi mencari penyelesaian menyeluruh demi kelangsungan hidup  pesawah di kawasan berkenaan.

Sementara itu, seorang pesawah, Mazuki Desa, 50, mendakwa aduan berkaitan masalah berkenaan telah dikemukakan kepada MADA sejak sekian lama, namun masih belum menerima sebarang tindakan.

“Masalah ini telah berlarutan sehingga enam musim penanaman dan menyebabkan kami tidak dapat mengusahakan bendang seperti biasa,” katanya.

Tiada ulasan