AGIHAN ZAKAT LZNK MENCECAH RM346 JUTA, MELEBIHI JUMLAH KUTIPAN
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mencatatkan agihan zakat sebanyak RM346 juta, melebihi jumlah kutipan RM323 juta, sekali gus membuktikan komitmen membantu golongan memerlukan.
Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata, berdasarkan laporan prestasi terkini, peningkatan agihan yang ketara dari tahun ke tahun membuktikan komitmen LZNK untuk memastikan setiap sen wang zakat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Dana zakat ini kemudiannya telah disalurkan melalui pelbagai bentuk skim bantuan yang meliputi sektor makanan dan sara hidup, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan serta kebajikan asnaf. Kesemua sektor ini bertujuan untuk memastikan golongan fakir dan miskin sentiasa diberi peluang untuk keluar daripada kitaran kemiskinan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Agihan Zakat dan Berbuka Puasa Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah di Dewan Insaniah, Kompleks Lembaga Zakat Negeri Kedah, Mergong, di sini, pada Ahad.
“Pada masa yang sama, pelbagai program pembangunan ekonomi juga turut dilaksanakan merangkumi pemerkasaan ekosistem pertanian, pembiayaan pendidikan, serta latihan kemahiran dan bantuan modal perniagaan bagi membolehkan mereka membina kehidupan dan generasi yang lebih baik pada masa hadapan,” jelasnya.
Norizan yang merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berkata, dalam memastikan setiap bantuan zakat benar-benar sampai kepada mereka yang berhak, LZNK turut memperkukuhkan peranan masyarakat di peringkat akar umbi melalui pelantikan Penolong Amil di setiap kariah masjid di seluruh negeri Kedah sejak tahun 2018.
“Sehingga kini, seramai 617 orang Penolong Amil telah dilantik secara rasmi dan mereka inilah sebahagian daripada mata dan telinga mewakili Lembaga Zakat Negeri Kedah yang tidak pernah lelah membantu menyelesaikan isu-isu kemiskinan di peringkat kariah dan kampung masing-masing,” katanya.
Menurut Norizan, usaha memperkukuhkan peranan Penolong Amil ini secara tidak langsung turut membantu membina semula kepercayaan masyarakat terhadap pengagihan zakat.
“Ini kerana kejayaan institusi zakat tidak hanya bergantung kepada jumlah kutipan sahaja, tetapi juga amat bergantung kepada tahap kepercayaan masyarakat tentang bagaimana dan ke mana wang zakat ini diagihkan.
“Apabila masyarakat melihat bahawa wang zakat diuruskan dengan amanah, telus dan berkesan, maka mereka akan lebih yakin untuk menunaikan zakat melalui institusi zakat yang sah,” katanya.
Norizan percaya bahawa usaha ini pada akhirnya akan memperkukuhkan lagi LZNK dan membolehkan lebih ramai golongan asnaf dibantu pada masa hadapan.

Post a Comment