Header Ads

test

Pakat mai Seri Mentaloon, Rumah Terbuka Aidilfitri MB Kedah hari ini


 Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon menjadi tumpuan apabila menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
Majlis yang berlangsung dari pukul 5.00 petang hingga 11.00 malam itu dijangka menerima kehadiran sehingga 80,000 orang termasuk dif-dif jemputan bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Sambutan pada tahun ini diadakan dalam dua sesi, iaitu sesi petang dan malam bagi mengelak kesesakan selain untuk keselesaan pengunjung berikutan cuaca panas di negeri ini.
Ketibaan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh dijadualkan pada pukul 5.30 petang, diikuti sesi ramah mesra bersama tetamu dan orang ramai yang hadir menikmati juadah yang disediakan.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan pentas dan nyanyian oleh artis jemputan seperti Datuk M. Nasir, Mawi, Haziq Rosebi, Oja serta Kumpulan NADA.
Tidak ketinggalan acara pemberian sumbangan duit raya oleh Menteri Besar Kedah kepada kanak-kanak, sebelum majlis berhenti seketika sekitar 7.00 petang.
Pada sebelah malam, acara diteruskan selepas solat Maghrib sebelum ketibaan semula Menteri Besar bersama isteri pada 8.30 malam.
Majlis kemudian diserikan dengan ucapan alu-aluan pengacara majlis serta ucapan khas Hari Raya oleh Menteri Besar Kedah sebelum diteruskan dengan sesi ramah mesra bersama para tetamu.
Sambil menjamu selera, pengunjung disajikan dengan persembahan pentas sebagai penutup acara sebelum Menteri Besar bersama isteri berangkat pulang diikuti dif jemputan dan orang ramai.
Majlis dijadual berakhir pada pukul 11.00 malam.

Tiada ulasan