CADANG TUBUH SEKRETARIAT ISU AIR KOTA SIPUTEH, SEDIA TANGKI STATIK MENJELANG AIDILFITRI
Roslinda Hashim
KUBANG PASU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mencadangkan agar ditubuhkan Sekretariat Isu Air Kota Siputeh dan penyediaan tangki statik di kawasan ‘hotspot’ bagi membantu penduduk terjejas bekalan air di sekitar Sanglang dan Kodiang, menjelang Aidilfitri.
Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan dalam sesi libat urus dan dialog bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diadakan bersama warga Kota Siputeh bagi mencari penyelesaian isu berkenaan.
Menurutnya, penubuhan sekretariat tersebut dicadangkan bagi membolehkan wakil SADA bekerjasama secara terus dengan sukarelawan kawasan untuk memantau lokasi yang berdepan gangguan bekalan air secara berterusan.
“Sekretariat ini akan membantu menyelaras maklumat serta memantau kawasan terjejas supaya tindakan dapat diambil dengan lebih cepat dan berkesan.
“Selain itu, saya juga memohon supaya pihak SADA menyediakan tangki statik di beberapa kawasan ‘hotspot’ menjelang Hari Raya bagi membantu penduduk yang sering berdepan masalah bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus dan dialog bersama SADA serta JKR yang diadakan bagi memberi ruang kepada rakyat menyampaikan aduan dan pandangan secara terus kepada agensi berkaitan.
Dalam sesi tersebut, pihak SADA turut memberi penerangan berhubung punca gangguan bekalan air di kawasan terlibat.
“Antara punca termasuk faktor kedudukan kawasan yang berada di penghujung sistem agihan selain peningkatan penggunaan air ketika musim kemarau,” katanya.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, agensi berkenaan juga memaklumkan beberapa langkah mitigasi serta perancangan penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SADA, JKR Kedah, JKR Daerah Kubang Pasu, penghulu serta masyarakat setempat yang hadir dalam sesi dialog berkenaan.

Post a Comment