Header Ads

test

SANUSI SOKONG LANGKAH PM TIDAK ANJUR RUMAH TERBUKA

 


“JEMPUT BERKONGSI RAYA DI SERI MENTALOON”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyokong langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri oleh kementerian dan agensi kerajaan bagi mengelakkan perbelanjaan tinggi.
Beliau berkata, keputusan tersebut wajar memandangkan penganjuran rumah terbuka di peringkat Persekutuan melibatkan banyak kementerian dan jabatan, menyebabkan kos meningkat.
“Kalau Kerajaan Persekutuan batalkan penganjuran, itu bagus sebab agensi mereka banyak. Tengok sahaja kementerian ada lebih 30, belum termasuk jabatan di bawahnya lagi. Kalau semua buat, kos jadi tinggi.
“Sebab itu saya sokong langkah Perdana Menteri hadkan penganjuran rumah terbuka. Disebabkan tiada penganjuran di peringkat Persekutuan, saya jemput pakat-pakat mai berkongsi Raya di Seri Mentaloon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kongsi Kegembiraan Aidilfitri Bersama Anak Yatim di Bazar Raya Stadium Darul Aman, hari ini.
Menurut Sanusi, Kerajaan Negeri Kedah hanya menganjurkan satu majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon pada 27 Mac ini.
Katanya, persiapan bagi majlis tersebut sedang giat dijalankan termasuk pemasangan khemah serta tempahan makanan, selain ia turut membantu merancakkan ekonomi pengusaha tempatan.
“Di Kedah kita buat satu majlis sahaja. Persiapan sedang dibuat, ini juga membantu ekonomi pengusaha tempatan kerana acara ini diadakan setahun sekali, bukan selalu.
“Kita jemput semua orang datang pakat-pakat mai kongsi raya di Seri Mentaloon 27 Mac nanti,” ujarnya.
Tambah beliau, majlis yang bermula dari pukul 5 petang hingga 11 malam itu bakal menyediakan pelbagai juadah kepada pengunjung dengan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut menaja makanan.
“Penganjuran di Kedah, belanja murah sebab di sini kita buat gotong-royong. Kerajaan Negeri bersama GLC semua kongsi buat sekali di Seri Mentaloon, mereka pun jadikanlah Rumah Terbuka mereka serentak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan agensi di peringkat negeri supaya turut mengehadkan penganjuran rumah terbuka dan sebaliknya bersama-sama memeriahkan majlis di Seri Mentaloon.
“Saya nasihatkan di Kedah pun hadkan penganjuran, sama seperti nasihat Perdana Menteri. Datang sahaja ke Seri Mentaloon, kita buat sekali dan meriahkan bersama,” katanya.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri telah lama mengamalkan budaya berjimat cermat sejak awal pentadbirannya sehingga berjaya mencatat lebihan akaun setiap tahun.
“Kita berjimat bukan hari ini sahaja. Sejak awal mentadbir Kedah kita sudah berjimat. Sebab itu akaun negeri ditutup setiap tahun dengan lebihan (surplus). Kerajaan negeri berbelanja secara berhemah, tidak boleh merapu dalam perbelanjaan, di Kedah ini bukan satu langkah baru,” ujarnya.
Mengulas mengenai jemputan kepada pemimpin Pusat termasuk Perdana Menteri, Sanusi berkata, majlis tersebut terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang politik.
“Open house, siapa-siapa pun boleh hadir. Tak kira parti lain ke parti saya, rakan taulan atau musuh ketat, semua boleh datang,” katanya.
Pada 11 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat berikutan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat.
Beliau berkata, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana dan berhemat dalam perbelanjaan negara.
Langkah penjimatan yang dilaksana kerajaan ini susulan ketegangan terus memuncak di Asia Barat dengan kesannya mula dirasai ke atas ekonomi negara.

Tiada ulasan