GOLONGAN YANG MENJADI TUNJANG KHIDMAT MASYARAKAT SENTIASA DIHARGAI
Ku Azizah Ku Hamid
PADANG TERAP - Kerajaan negeri sentiasa memperkukuh agenda kebajikan rakyat termasuk menghargai golongan yang menjadi tunjang khidmat masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, jasa tokoh masyarakat seperti guru al-Quran sukarela, mudim, bidan kampung, bomoh patah, jurumandi jenazah dan penggali kubur serta mualaf sentiasa dihargai saban tahun.
Menurutnya, peranan tokoh masyarakat berkenaan amat besar kerana khidmat mereka bermula sejak kelahiran seseorang insan sehingga ke saat terakhir kehidupan.
“Atas jasa besar mereka kepada masyarakat, kita raikan penghargaan itu dengan menyalurkan sumbangan sebagai tanda ingatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Kedah dalam Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa sempena Ramadan, Daerah Padang Terap di Masjid Kariah Kampung Padang Setol, Mukim Pedu, di sini.
Menurut Dzowahir, segala nikmat yang dirasai masyarakat hari ini adalah hasil titik peluh dan pengorbanan golongan tersebut yang wajar diberikan penghargaan selari dengan slogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.
“Peranan tokoh masyarakat ini bermula sejak menyambut kelahiran insan ke dunia menerusi khidmat bidan kampung, diikuti tugas mudim serta guru al-Quran dalam mendidik rohani anak-anak, hinggalah kepada urusan memandikan jenazah dan menggali liang lahad.
“Sebagai Melayu Muslim di negeri Kedah yang kita cintai ini, khidmat yang disumbangkan oleh golongan ini bermula sejak kita lahir lagi hinggalah kembalinya kita ke tanah,” katanya.
Tambah beliau, kepimpinan negeri akan sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat Kedah di semua peringkat.
“Peranan yang dimainkan oleh setiap daripada mereka amatlah besar dan penting dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.
Program pemberian sumbangan kepada tokoh masyarakat itu telah dilaksanakan sejak 17 tahun lalu hasil cetusan idea Menteri Besar Kedah ke-10, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, dan diteruskan sehingga kini.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#sumbangan
#ramadan

Post a Comment