Header Ads

test

KETEPIKAN PERBEZAAN, BERSATU KUKUHKAN UMMAH HADAPI ANCAMAN GLOBAL - SANUSI

 

Roslinda Hashim 

KULIM - Umat Islam disaran untuk mengetepikan perbezaan politik mahupun aliran mazhab demi memperkukuhkan kekuatan ummah dalam menghadapi ancaman masa depan yang semakin mencabar.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, umat Islam ketika ini berdepan pelbagai tekanan dan ancaman, justeru segala perkara yang boleh melemahkan perpaduan perlu diketepikan buat sementara waktu.

“Marilah kita bersatu hati bermula di sini. Jauhi perbalahan, tingkatkan keharmonian dalam isu yang memerlukan kesatuan. Ketepikan perbezaan dan pandangan politik atau latar belakang masing-masing.

“Sampai masa mengundi, mengundilah ikut pandangan politik masing-masing, tetapi hari ini kita perlu bersatu padu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Daerah Kulim di Masjid At-Taufiq, Ayer Merah, di sini.

Menurut beliau, umat Islam perlu berlapang dada dan menumpukan perhatian kepada cabaran sebenar yang lebih besar termasuk penindasan terhadap saudara Islam di seluruh dunia.

Mengulas perkembangan antarabangsa, dengan merujuk kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam gelombang serangan Amerika Syarikat dan Israel, Sanusi berkata, berdasarkan video terakhir sebelum kematiannya, Khamenei menyeru kepada perpaduan antara Sunni dan Syiah.

“Khamenei juga mengingatkan agar tidak wujud sikap ekstrem sehingga mencela keluarga Nabi SAW. 

“Ada yang ekstrem dan suka mencela, tetapi itu bukan aliran utama dalam mazhab Syiah, dilaga-lagakan aliran itu dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, hingga kita saling kecam mengecam. Akhirnya, perpecahan Sunni dan Syiah hanya melemahkan umat Islam sendiri,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap manusia mahupun kerajaan mempunyai ajal masing-masing selain berharap kezaliman terhadap umat Islam di Palestin dan wilayah lain dapat dihentikan.

“Kita doakan para pembela Palestin, sama ada Syiah atau Sunni yang berjihad, diberikan kekuatan. Jangan kita termakan momokan yang memecah-belahkan umat,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 450 penerima dari tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Merbau Pulas, Kulim dan Lunas menerima sumbangan dengan setiap DUN diwakili 150 penerima.

Penerima terdiri daripada guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah, bidan kampung serta mualaf yang banyak berjasa kepada masyarakat.

Menurut Sanusi, program sumbangan tahunan yang diteruskan sejak 17 tahun lalu itu merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada golongan sukarelawan yang berkhidmat tanpa upah tetap.

“Kerja mereka dilakukan dengan ikhlas dan penuh pengorbanan. Inilah yang memberi keberkatan dalam kehidupan mereka.

“Setiap daerah wajar mengimarahkan program seperti ini bagi menghargai jasa besar mereka kepada masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan