Header Ads

test

KEMAJUAN NEGERI BUKAN DIUKUR BERDASARKAN BANGUNAN PENCAKAR LANGIT - SANUSI

 


Roslinda Hashim 


ALOR SETAR - Kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah projek mega atau bangunan pencakar langit semata-mata, sebaliknya dinilai kepada manfaat sebenar terhadap rakyat.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan pembangunan yang lebih realistik dan berperingkat bagi memastikan setiap projek memberi nilai kepada ekonomi negeri.

Menurut beliau, terdapat cadangan lama untuk membina bangunan pejabat setinggi 14 tingkat di Alor Setar, namun projek tersebut dibatalkan kerana dilihat tidak mempunyai potensi.

“Apabila ekonomi berubah, keperluan kepada ruang pejabat juga semakin rendah. Ada syarikat cadang bina bangunan 14 tingkat untuk disewakan dengan kos berbelas juta ringgit, tetapi kita batalkan kerana tiada potensi.

“Kalau hendak ukur kemajuan negeri berdasarkan projek seperti itu, kita boleh sahaja bina, tetapi akhirnya bangunan itu kosong terbiar dan tidak memberi manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Santuni Murabbi Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato' Mohd Sahil Zabidi dan Penaung Pertubuhan Mu’alimah Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abdul Hamid 

Menurut Sanusi, isu berkenaan dicanang di media sosial oleh pembangkang di negeri ini, menyerlahkan pemikiran sempit mereka.

“Mereka cakap di media sosial, saya tak buat apa pun sebab mereka cari tak ada bangunan pencakar langit. Sekarang ramai mula faham, itu pemikiran yang tak betul.

“Istilah saya mudah saja, semua sudah ada nak buat apa lagi. Bila saya cakap seperti itu, dikatakan pula kalau begitu siapa pun boleh jadi MB, tak payah buat apa. 

“Saya nak jawab, perlu ada otak (ilmu) saja kalau nak jadi MB, kalau tak ada, apa pun tak boleh jadi,” katanya sinis.

Berikutan itu, Sanusi mengingatkan masyarakat agar mendapatkan pandangan daripada pihak yang benar-benar pakar dalam sesuatu bidang dan tidak mudah terpengaruh dengan pandangan tidak berasas yang disebarkan di media sosial.

Katanya, maklumat yang disebarkan oleh individu yang tidak mempunyai kepakaran boleh mengelirukan masyarakat dan akhirnya merosakkan pemikiran.

“Kalau hendak dengar sesuatu perkara, dengarlah daripada pakar. Jangan ambil pandangan daripada orang yang tidak menguasai bidang tersebut kerana ia boleh memperbodohkan masyarakat.

“Dunia bukan dibentuk oleh berapa ramai yang berjaya diperbodohkan. Dunia dibentuk oleh berapa ramai yang telah dicerdikkan, dididik dengan nilai baik, barulah kita maju,” katanya.

Sanusi berkata, ada pihak suka menjaja perkara tidak betul tetapi cuba menjadikan ia benar dengan mengulanginya untuk memperbodohkan orang ramai.

“Kena cakap benar walau dari musuh, sekiranya apa yang dikatakan itu benar. Kena cakap salah walaupun dari kawan, sekiranya apa yang dikatakan itu salah. Itulah prinsip yang wajar dipegang oleh semua,” katanya.

Pada majlis tersebut, PKNK menyalurkan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada 2,000 guru serta kakitangan sekolah agama di seluruh Kedah sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sanusi berkata, majlis itu bukan sekadar pemberian bantuan, sebaliknya penghargaan kerajaan negeri terhadap peranan guru agama yang menjadi tunjang dalam membina jiwa dan akhlak masyarakat.

“Dunia pendidikan agama kini berdepan pelbagai cabaran termasuk pengaruh teknologi serta media sosial yang boleh mempengaruhi pemikiran dan akhlak pelajar.

“Kefahaman agama yang longgar dan diperoleh daripada platform media sosial tanpa bimbingan guru boleh membawa kepada fahaman yang menyimpang atau liberal.

“Perkembangan ini menjadikan tugas guru agama semakin mencabar. Mereka perlu sentiasa peka dengan perubahan semasa dan mendahului cabaran mendatang,” katanya.

Tambah beliau, Kedah memerlukan guru agama yang terus istiqamah dan sabar dalam mendidik anak bangsa sebagai asas pembinaan generasi masa depan.


#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

#mbkedah

Tiada ulasan