Header Ads

test

ILMU TRADISIONAL PERLU DIPERTURUNKAN KEPADA GENERASI MUDA

 

Roslinda Hashim
PENDANG - Individu yang masih memiliki ilmu serta kemahiran tradisional dinasihatkan menurunkan ilmu berkenaan kepada generasi muda agar kemahiran itu tidak pupus ditelan zaman.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun negara kini menuju ke arah kemodenan, ilmu tradisional seperti perkhidmatan bidan kampung, bomoh patah, pengurusan jenazah serta guru al-Quran masih mempunyai keperluan dalam situasi tertentu.
“Yang masih mempunyai ilmu tradisional dan kerjaya sukarelawan ini, turunkanlah kepada anak cucu kerana mungkin pada suatu ketika nanti, walaupun di zaman moden, ilmu ini masih diperlukan.
“Semua ilmu ada kegunaannya. Tiada satu pun ilmu yang tidak memberi manfaat atau sia-sia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Daerah Pendang di Masjid Al Huda, Alor Pudak, Mukim Tobiar, di sini.
Menurut Sanusi, masyarakat juga digalakkan menimba pelbagai kemahiran sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi kecemasan supaya dapat membantu masyarakat setempat.
“Dalam kehidupan ini kita perlu banyak berkawan dan mempunyai kemahiran serba sedikit. Jika berlaku keadaan mendesak atau kecemasan, kita boleh berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.
Sanusi turut menyifatkan penganjuran majlis tersebut sebagai tanda hubungan baik antara kerajaan negeri dan masyarakat kampung, dan jasa mereka yang berkhidmat secara sukarela sentiasa dihargai.
“Ini petanda hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan masyarakat kampung. Jasa yang telah ditaburkan tidak akan dipinggirkan,” katanya.
Dalam majlis tersebut, seramai 300 penerima dari daerah Pendang menerima sumbangan melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tokai dan Sungai Tiang dengan setiap DUN diwakili 150 penerima.
Para penerima terdiri daripada guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah, bidan kampung serta mualaf yang selama ini menabur khidmat secara sukarela kepada masyarakat.

Tiada ulasan