Header Ads

test

‘SENTUHAN KASIH RAMADAN MENJELANG SYAWAL’ MANFAATKAN 3,120 ASNAF

 


Roslinda Hashim


POKOK SENA - Seramai 3,120 golongan asnaf fakir dan miskin di seluruh Kedah menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Syawal.


Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) akan terus memperkukuhkan komitmen dalam memartabatkan sosioekonomi ummah menerusi pelbagai inisiatif bantuan kepada golongan memerlukan.


Baginda yang merupakan Yang Dipertua MAIK bertitah, keseluruhan peruntukan yang disalurkan berjumlah RM644,000 untuk dimanfaatkan kepada 3,120 penerima melalui 588 masjid di seluruh Kedah.


“Sumbangan keprihatinan MAIK dalam menyantuni golongan asnaf serta individu yang layak menerima bantuan ini diharap dapat menceriakan dan memberi kegembiraan kepada mereka ketika

menyambut Aidilfitri,” titah baginda.


Sumbangan tersebut disampaikan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2026/1447H di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Pokok Sena, hari ini.


Dalam majlis tersebut, 200 penerima terpilih menerima sumbangan melibatkan wang tunai RM300 setiap seorang selain kuih raya sebagai persiapan menyambut Syawal.


Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, golongan yang menerima bantuan terdiri daripada asnaf fakir dan miskin, warga emas yang hidup bersendirian dengan pendapatan kurang RM500 sebulan, ibu atau bapa tunggal yang menanggung anak serta orang kurang upaya (OKU).


“Penerima bantuan dipilih daripada empat kariah masjid, iaitu Masjid An-Nur Pekan Pokok Sena, Masjid Al-Huda Kampung Pokok Sena, Masjid Ar-Raudhah Kampung Sungai Durian dan Masjid Ar-Rahman Pokok Sena,” titah baginda.


Raja Muda bertitah, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MAIK dalam memperkukuhkan jaringan sosio ekonomi untuk menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup. 


Sementara itu, Setiausaha MAIK, Datuk Dr Abd Ghani Zainuddin berkata, bantuan tersebut merupakan satu amanah dan tanggungjawab sosial bagi memastikan golongan memerlukan terus dibela.


Menurutnya, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu penerima membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih bermakna di samping meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.


#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

#rajamudakedah

Tiada ulasan