Header Ads

test

PREMIS PROSES SISA PLASTIK TANPA EIA DI BUKIT SELAMBAU DIHENTIKAN OPERASI

 

Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Enam mesin penyemprit plastik di sebuah premis di kawasan Perindustrian Bukit Selambau dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah selepas dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil menerusi Ops Gempur yang dijalankan pada 9 Mac bermula 9 pagi hingga 3 petang hasil pemantauan berterusan penguat kuasa JAS Kedah terhadap aktiviti industri yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pembersihan serta penyempritan sisa plastik untuk menghasilkan palet plastik.
“Susulan itu, JAS Kedah telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan atau henti operasi di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas enam mesin penyemprit plastik serta sistem kawalan pencemaran udara, yang dipercayai digunakan dalam proses pengeluaran tanpa kebenaran JAS,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut turut menemukan sejumlah besar bahan mentah dan produk siap di premis berkenaan.
“Kira-kira 1,000 jumbo bag atau hampir 500 metrik tan sisa plastik ditemui dan dipercayai digunakan sebagai bahan mentah dalam proses pembuatan.
“Selain itu, pegawai penguat kuasa turut menjumpai kira-kira 110 metrik tan produk siap berupa palet plastik yang dipek dalam 4,400 guni dengan setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram,” katanya.
Menurut Sharifah Zakiah, JAS Kedah turut mengambil sampel sisa plastik serta palet plastik dari premis tersebut untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi menjalani analisis makmal.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal tanpa kelulusan EIA.
“Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda minimum RM100,000 dan maksimum RM1 juta serta penjara mandatori tidak melebihi lima tahun,” katanya.
Dalam pada itu, JAS Kedah tegaskan, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan industri mematuhi undang-undang alam sekitar serta tidak menjejaskan kesihatan awam dan alam sekitar.
Orang awam turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pencemaran alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang eAduan JAS.

Tiada ulasan