KEBERSIHAN BAZAR RAMADAN MEMUASKAN, DUA LOKASI RAIH LIMA BINTANG
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Tahap kebersihan kebanyakan tapak Bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini berada pada tahap memuaskan dengan dua lokasi mencatat penggredan tertinggi lima bintang selepas dua minggu Ramadan.
Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya berkata, penilaian yang dijalankan sehingga 5 Mac mendapati Medan Selera Darul Aman dan Mergong Jaya (Raden) mencapai gred lima bintang.
Menurut beliau, sebanyak 10 tapak bazar lagi memperoleh gred empat bintang, manakala dua tapak bazar menerima gred tiga bintang.
“Tapak bazar yang mencapai gred empat bintang ialah Kota Sarang Semut, Simpang Empat, Pokok Sena, Lotus’s Mergong, Simpang Kuala, Peremba, Taman Wira, Taman Nuri, Medan Selera Teratai dan Tandop.
“Dua tapak bazar yang memperoleh gred tiga bintang pula ialah Langgar dan Kuala Kedah,” katanya.
Abdul Gafar berkata, penilaian tersebut dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran melibatkan 14 tapak Bazar Ramadan milik MBAS yang beroperasi di sekitar bandar raya ini.
“Penggredan dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk pengurusan sisa pepejal, tahap kebersihan kawasan persekitaran bazar, penyediaan kemudahan tong sampah serta pematuhan peniaga terhadap amalan kebersihan ketika penyediaan dan pengendalian makanan,” katanya.
Tambah beliau, pemantauan akan terus dilaksanakan secara berkala sepanjang tempoh operasi bazar Ramadan bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa berada dalam keadaan baik serta mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua peniaga dan pengunjung agar bersama-sama mengamalkan budaya menjaga kebersihan dengan melupuskan sisa makanan dan sampah di tempat yang telah disediakan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan Bazar Ramadan di Bandaraya Alor Setar kekal bersih, selamat dan selesa untuk dikunjungi sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya.

Post a Comment