PESANAN KEPADA ANAK YATIM: JANGAN MUDAH MENGALAH, BINA MASA DEPAN LEBIH BAIK Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Anak-anak yatim diingatkan supaya tidak menjadikan ketiadaan ibu bapa sebagai alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadikannya sebagai dorongan untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketiadaan ayah atau ibu, malah kedua-duanya sekali bukanlah halangan untuk seseorang berjaya jika mereka terus berusaha dan bersemangat dalam menghadapi cabaran hidup.
“Walaupun tanpa ayah atau ibu, jangan mudah mengalah dan anggap ia sebagai halangan untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup.
“Saya ingin berpesan, anak-anak jangan berputus asa dan jangan lemah semangat. Hadapilah takdir ini dengan reda serta jadikan ia sebagai cabaran untuk belajar hidup berdikari dan menjadi lebih matang dalam membina masa hadapan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim di Dewan Seri Mentaloon di sini.
Sanusi berkata, status anak yatim merupakan satu kedudukan yang istimewa kerana golongan tersebut dimuliakan oleh ALLAH SWT.
Menurutnya, gelaran anak yatim adalah anugerah kepada hamba-hamba terpilih dan perkara itu turut dilihat dalam sejarah Islam.
“Rasulullah SAW sendiri adalah anak yatim, malah ayahanda Nabi meninggal dunia ketika Baginda masih dalam kandungan ibunya.
“Ramai ulama besar pada zaman silam juga merupakan anak yatim ketika mereka masih kecil. Selain Rasulullah, ulama-ulama besar daripada kalangan tabi’in kebanyakan anak yatim. Antaranya, Imam Bukhari, Imam Syafi’e, Imam Sufyan at-Thawri, Hasan al-Basri, juga tokoh-tokoh sufi seperti Uwais al-Qarni dan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani,” katanya.
Tambah beliau, kisah tokoh-tokoh tersebut membuktikan bahawa anak yatim mampu bangkit menjadi insan hebat apabila mereka menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh.
“Sekali lagi saya ingin berpesan, kepada anak-anak yatim, jangan berasa kekurangan, jangan sekali-kali berasa rendah diri kerana yang sebenarnya, ALLAH SWT telah memilih anak-anak untuk dimuliakan.
“Belajarlah dengan bersungguh-sungguh untuk jadi orang berilmu, untuk jadi anak soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan ibu bapa walaupun mungkin kita tidak pernah bertemu dengan mereka,” katanya.

Post a Comment