KEDAH TIDAK PERLUKAN POLITIK ADU DOMBA
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Perpaduan tidak akan tercapai sekiranya masih wujud pihak yang terus menangguk di air keruh demi kepentingan politik sempit.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO, Wong Chia Zhen berkata, kenyataan itu susulan laporan Indeks Perpaduan Nasional yang baharu dikeluarkan, apabila negeri Kedah diletakkan di kedudukan tercorot, sekali gus tidak mencerminkan realiti sebenar tahap perpaduan di negeri ini.
“Jika benar kita mahu melihat Indeks Perpaduan meningkat, maka semua pihak perlu berhenti menjadi penonton di luar pagar yang hanya tahu mengkritik, tetapi tidak pernah bersama-sama memikul tanggungjawab membina keharmonian.
“Justeru, saya berpandangan bahawa indeks yang meletakkan Kedah di kedudukan tercorot itu tidak menggambarkan realiti sebenar dan wajar dinilai semula dengan lebih teliti,” tegasnya.
Beliau berkata demikian sewaktu ucapannya di Majlis Rumah Terbuka Baru Cina Tahun 2026 Peringkat Negeri Kedah, yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Alor Setar.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa menghormati kepelbagaian bahasa dan budaya serta komited dalam memastikan setiap kaum merasa dihargai dan diwakili.
Namun, usaha itu terus dijadikan tuduhan dan provokasi terhadap kerajaan negeri, dengan memutarbelitkan usaha murni melalui serangan yang tidak wajar.
“Apabila wakil Perikatan Nasional dan ADUN PAS turun menyantuni masyarakat Siam, timbul pula serangan kononnya tindakan itu tidak wajar. Tetapi apabila kerajaan negeri membantu masyarakat bukan Melayu, mereka pula memprovokasi dengan tuduhan bahawa kerajaan mengabaikan masyarakat Melayu,” jelasnya.
Chia Zhen turut menegaskan bahawa negeri Kedah tidak memerlukan politik adu domba, yang kita perlukan ialah keikhlasan dan komitmen untuk menjaga semua kaum secara adil dan saksama serta perpaduan yang lahir secara semula jadi dalam jiwa rakyat, bukan sekadar dinilai melalui statistik di atas kertas.
“Apa yang lebih penting daripada angka dan kedudukan dalam mana-mana indeks ialah hakikat bahawa rakyat Kedah hidup dalam suasana saling hormat-menghormati, memahami antara satu sama lain dan berkongsi ruang kehidupan dengan harmoni.
“Marilah kita terus memelihara semangat kebersamaan ini, memperkukuhkan hubungan antara kaum, dan bersama-sama membina Kedah yang lebih maju, stabil dan sejahtera untuk generasi akan datang,” ucapnya.

Post a Comment