Header Ads

test

“SAYA MB UNTUK SEMUA KAUM, TIADA DISKRIMINASI DI KEDAH” - SANUSI

Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau adalah pemimpin kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik, selain memberi jaminan tiada diskriminasi terhadap golongan minoriti dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Menurutnya, sejak diberikan amanah menerajui pentadbiran negeri pada 17 Mei 2020, beliau konsisten dengan pendirian bahawa jawatan Menteri Besar yang disandang bukan hanya untuk menjaga kepentingan orang Melayu, sebaliknya semua kaum merangkumi 2.2 juta rakyat Kedah.

“Saya bukan Menteri Besar untuk orang Melayu sahaja. Saya adalah MB kepada seluruh rakyat Kedah tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2026 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Perhimpunan Cina Kedah, di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa semua warga Kedah mempunyai hak sebagaimana termaktub dalam undang-undang dan Perlembagaan untuk dinikmati secara adil dan saksama.

“Walaupun kita semua dari pelbagai latar belakang agama dan parti politik, saya beri jaminan tidak ada unsur aniaya dalam pentadbiran negeri. Hak-hak ini akan sentiasa dihormati dan diraikan.

“Kerajaan Negeri tidak sekali-kali meminggirkan mana-mana kelompok minoriti sama ada dari segi kaum, agama, taraf hidup, pendidikan atau ideologi politik dalam menentukan dasar dan keputusan yang dibuat,” ujarnya.

Sanusi tegaskan, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang merasakan diri mereka teraniaya atau dipinggirkan, perkara itu boleh dimaklumkan terus kepadanya atau Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO, Wong Chia Zhen.

Mengulas mengenai komposisi masyarakat, beliau berkata, Kedah mempunyai kira-kira 276,000 warga keturunan Tionghua dan 70,000 masyarakat Siam yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.

“Walaupun dalam jumlah minoriti, Kerajaan Negeri akan terus bekerja keras membawa kesejahteraan dan mempermudahkan urusan kehidupan semua kaum tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tegaskan, kekuatan sesebuah negeri tidak boleh bersandar kepada satu kelompok majoriti sahaja, sebaliknya digembleng melalui perpaduan semua kaum.

“Sambutan perayaan pelbagai kaum seperti Tahun Baru Cina membuktikan semangat muhibah kukuh kalangan rakyat sekali gus membuktikan dakwaan kononnya Kedah tercorot dalam Indeks Perpaduan Nasional 2025 sebagai satu kesilapan.

“Keharmonian yang kita nikmati hari ini lahir daripada sikap saling menghormati, bertolak ansur dan kemahuan bersama untuk menjaga hubungan baik dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Menurut Sanusi lagi, apa yang dipraktikkan selari dengan ajaran agama Islam yang menegah amalan mendiskriminasi berdasarkan kaum selain tiada paksaan dalam beragama.

“Saya akan jaga hak kaum masing-masing sebaiknya dan tunaikan tanggung jawab berdasarkan didikan dan ajaran Islam yang tidak akan aniaya sesiapa di Kedah. Kita semua bergerak dalam satu pasukan, semua kaum hidup dalam harmoni dan saling menghormati,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan, Kedah kini menjadi tumpuan pelabur terutama di Kulim serta beberapa projek strategik seperti Kedah Science and Technology Park (KSTP), Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.

“KRC telah menerima pelaburan pertama dari China berjumlah RM3 bilion bagi pembinaan kilang tayar, kita juga ada pembangunan kawasan industri baharu termasuk di Padang Meha.

“Tahun 2026 dijangka mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi global, justeru Kerajaan Negeri bersiap sedia dari semua aspek untuk berdepan situasi itu, serta akan terus permudahkan kegiatan ekonomi agar seluruh masyarakat menikmati kemajuan dan kemakmuran secara bersama,” katanya.

Tiada ulasan